Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyatakan kementeriannya tidak gagal dalam menangani isu kenaikan harga ayam yang berlaku di negara ini.

Menurut beliau, walaupun belum mencapai tahap yang memuaskan namun KPDNHEP sentiasa berusaha  mengurangkan harga kos operasi.

“Yang Berhormat, kita mungkin tak sampai lagi tahap kepada tahap yang sangat memuaskan tapi kita usaha. Tadi, saya jelaskan yang terbaik adalah kita membantu pengusaha dan penternak dalam erti kata dalam menangani kos operasi mereka.

“Ini telah majukan kepada Kementerian Kewangan (MOF) bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dengan mengadakan libat urus beberapa minggu lalu.

“Jadi kita tunggu daripada MOF supaya ‘soft loan’ diberi kerana perternak ini mereka tidak mahu setuju untuk barang makanan yang diimport diberi subsidi, itu terlalu menjurus kepada harga makanan sahaja tapi kos-kos operasi mereka yang lain sudah meningkat seperti berdepan dengan masalah buruh asing yang jauh berkurangan jadi menjejaskan operasi mereka,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (PH) yang meminta menteri menyatakan adakah kerajaan telah gagal untuk menangani isu harga ayam berbanding semasa zaman Pakatan Harapan.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, sekiranya soft loan berkenaan dapat diluluskan kelak maka ia bakal membantu dalam menurunkan kos operasi para penternak.

“Diharap ia juga dapat menurunkan paras harga di peringkat pemborong dan peringkat peruncit. Kita tidak gagal lagi Yang Berhormat dan terima kasih kerana memberi cadangan,” ujarnya. – MalaysiaGazette