Jentera BN, Salfarina Samsi membaca buku Manifesto BN pada Pelancaran Manifesto Barisan Nasional sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Dewan Seri Chendana, Ayer Keroh, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 10 NOVEMBER 2021. - Gambar hiasan.

AYER KEROH – Manifesto Barisan Nasional (BN) yang berpaksikan kepada satu matlamat, lima teras dan 103 inisiatif merupakan tawaran terbaik buat rakyat Melaka.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah.

Menurutnya, melalui lima tawaran utama itu, beliau melihat Melaka terus terkedepan terutamanya daripada segi ekonomi baharu dan juga perniagaan yang lebih mapan.

Menerusi satu rakaman, beliau berkata, politik matang yang diamalkan merupakan satu tawaran yang baik untuk menjadikan negeri Melaka, sebuah negeri yang stabil.

Semalam, BN melancarkan manifesto bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bertemakan ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’.

Pelancaran manifesto itu disempurnakan Timbalan Pengerusi BN merangkap Pengarah Pilihan Raya PRN Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Pada sidang medianya selepas itu, Mohamad berkata, manifesto berkenaan merupakan akujanji yang dibuat untuk BN dalam melakukan sesuatu untuk rakyat di Melaka..

Katanya, tidak akan ada kemakmuran sekiranya tiada kestabilan dan ia merupakan kunci utama kepada apa sahaja yang hendak dilakukan oleh BN kerana ia akan menjadikan kerajaan yang ditubuh lebih berfokus dalam mensejahterakan rakyat serta membangunkan negeri dengan tersusun dan teratur.

Mengulas mengenai potensi untuk calon BN yang bertanding di Dewan Undangan (DUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abd Halem beliau berkata, calon merupakan seorang anak muda yang agresif dan beliau cukup yakin sekiranya Helmy diberikan mandat oleh rakyat, isu-isu yang berbangkit yang dapat diselesaikan.

“Noor Helmy sebelum ini merupakan ahli majlis, kita nampak dia dapat memberikan perkhidmatan yang baik dan tidak mustahil jika ditakdirkan beliau dipilih sebagai YB di Duyong ini, beliau akan memberikan yang lebih baik lagi untuk warga Duyong,” ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November susulan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli DUN menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali. – MalaysiaGazette