Razarudin menunjukkan barang rampasan dadah yang berjaya ditumpaskan di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Taktik sindiket menyembunyikan dadah jenis heroin di bawah timbunan ais dan ikan sejuk beku berjaya ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, dadah berkenaan diletakkan dalam polisterin putih untuk dihantar melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Hong Kong.

Siasatan mendapati polisterin tersebut mengandungi heroin seberat  270 hingga 275 gram sebelum berjaya melepasi mesin imbasan semasa pemeriksaan di Mas Kargo KLIA.

“Itu modus operandi dilakukan satu sindiket penyeludupan dadah yang berjaya dipatahkan JSJN Bukit Aman dan JSJN Johor dalam empat serbuan di Kajang, Gelang Patah dan Pekan Nanas, Pontian pada 6 November lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Serbuan dilakukan antara pukul 8.30 hingga 9.30 pagi itu turut menahan seramai 11 lelaki dan seorang wanita dan mereka berusia antara 36 hingga 53 tahun.

“Menerusi serbuan tersebut kita berjaya merampas dadah seberat 20.41 kilogram bernilai RM1.9 juta yang boleh digunakan 102,050 penagih. Siasatan mendapati dadah itu dibawa masuk ke negeri ini dari negara jiran di sebelah utara.

“Proses pembungkusan dilakukan di sebuah rumah taman di Pekan Nanas sebelum dihantar ke KLIA melalui Mas Kargo. Rumah tersebut menjadi stor dan tempat pembungkusan dadah. Ini bukan pertama kali, tangkapan di Mas Kargo itu merupakan kali kelima atau keenam.

“Sindiket ini menggunakan syarkat yang mempunyai lesen dan syarikat ini tidak mengetahui perkara ini. Mereka dipercayai sudah aktif sejak hujung tahun 2020,” katanya lagi.

Razarudin berkata, ujian saringan air kencing terhadap 12 suspek mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis syabu manakala empat lagi mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

Tindakan boleh diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Harta) 1988 di mana JSJN telah menyita pelbagai aset sindiket melibatkan kenderaan, wang tunai, wang dalam akaun, barang kemas dan jam tangan.

Jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan melibatkan RM2.7 juta.

“Dadah yang dijual di pasaran Hong Kong berbeza dan lebih mahal iaitu RM700,000 berbanding RM90,000 untuk pasaran tempatan.

“Pihak polis juga masih mengesan saki baki ahli sindiket tersebut untuk diheret ke muka pengadilan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman selama tujuh hari sehingga 13 November.-MalaysiaGazette