Mohd Wazir Mohd Yusof

KUANTAN – Seorang suri rumah kerugian RM780,276 selepas terlibat dalam sindiket pelaburan projek perumahan palsu di Bentong.

Ketua Bahagian Jabatan Sisasatan Jenayah Komersial Negeri Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pengadu telah melabur dalam projek berkenaan dengan melakukan enam transaksi sejak tahun 2018.

“Pada tahun 2017 semasa berada di Karak, pengadu telah berkenalan dengan suspek juga seorang wanita dan sejak hari itu mereka berkawan rapat serta selalu datang ke rumah pengadu.

“Pada tahun 2018, suspek telah mengajak pengadu untuk membuat pelaburan projek perumahan yang diusahakan oleh adik perempuannya di Ulu Tiram, Johor yang namanya tidak diketahui pengadu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas Wazir, pengadu dijanjikan akan mendapat keuntungan dari pelaburan tersebut.

“Bermula 4 Jun 2018 sehingga 13 Ogos 2020, pengadu telah memasukkan wang berjumlah RM780,276.00 ke dalam akaun enam akaun berbeza.

“Pengadu juga pernah mendapat lebih kurang RM100,000 daripada suspek dan kemudian pengadu meminta lagi wang keuntungan pelaburan dan dimaklumkan pengusaha projek tersebut telah meninggal dunia,” katanya.

Bagaimanapun bermula bulan November 2020, pengadu tidak menerima apa-apa wang keuntungan pelaburan tersebut dan pernah dimarahi dan diugut oleh suspek.

“Pengadu sering menghubunginya dan meminta wang dengannya tetapi dia tidak membayar sehinggalah pada 10 November lalu, pengadu membuat laporan polis,” kata Wazir.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette