Datuk Norliza Abdul Rahim

KUALA LUMPUR – Uda Holdings Berhad (UDA) mengumumkan pelantikan Datuk Norliza Abdul Rahim sebagai pengerusinya yang baharu berkuatkuasa 8 November lalu.

UDA mengumumkan pelantikan itu menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Norliza dilantik menjadi pengerusi baharu menggantikan mantan penyandangnya, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang telah menggalas jawatan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.

Norliza yang memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Perakaunan), Ijazah Sarjana Muda Perancangan Kewangan Lanjutan dan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dan Pengurusan (Perakaunan) selain mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang pembangunan hartanah, pengurusan harta dan dasar perumahan awam merangkumi sektor kerajaan dan swasta.

Beliau menyelia pelaksanaan lebih 25,000 unit perumahan awam, unit kediaman dan komersial semasa perkhidmatan beliau di Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta Prime View Sdn.Bhd, sebuah syarikat hartanah swasta.

Norliza juga mempunyai pengalaman luas dalam menerajui beberapa syarikat milik kerajaan dan swasta yang tersenarai di bursa merangkumi bidang hartanah, perkapalan dan juga universiti awam dan koperasi.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara dari tahun 2011 hingga 2017.

“Saya akan bersama-sama barisan pimpinan UDA untuk menyambung legasi kecemerlangan UDA dan kekal utuh sebagai peneraju pembangunan bandar dalam masa yang sama terus memperkasa keluarga usahawan.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana mengiktiraf Wanita, terima kasih kepada Menteri Kewangan dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi atas kepercayaan untuk menerajui kepimpinan UDA,” kata Norliza dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette