Secretary-General of DAP, Lim Guan Eng. chopsticks Chinese Malaysian Mahathir Mohamad
Lim Guan Eng.

MELAKA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disifatkan angkuh dan tidak mengenang budi apabila terlalu yakin  memenangi lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tanpa DAP bersama mereka.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Bersatu mungkin terlupa, kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) turut disumbangkan oleh DAP yang bersama Bersatu semasa mereka di dalam PH.

“Kita pulang (serah) kepada rakyat (untuk menang). Kita bukan macam dia (Bersatu), angkuh. Dia (kata) pasti menang banyak kerusi.

“Bersatu bila dia menang (dahulu) kerana kita (bersama DAP dalam PH),” katanya pada sidang Media di Ibu Pejabat DAP Melaka di Kampung Pandan Mawar, Kelebang di sini hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri veteran DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP Melaka, Tey Kok Kiew.

Guan Eng berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka yang juga Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen semalam yang meluahkan keyakinan memenangi lebih banyak kerusi pada PRN Melaka 20 Novemberi ini.

Calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas itu berkata, ia kerana sokongan orang Melayu Islam kepada PN atau PPBM jauh lebih baik ketika PPBM bersama DAP di dalam PH pada PRU-14 lalu.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, DAP tidak akan mengeluarkan kenyataan seperti Mohd Rafiq dan menyerahkan sepenuhnya kuasa kepada rakyat untuk menentukan kerajaan.

“Biar rakyat tentukan sama ada pengkhianatan mereka disokong atau tidak oleh rakyat, saya percaya rakyat akan buat pilihan yang tepat.

“…sama ada menang atau kalah bergantung pada satu faktor sahaja iaitu peratusan keluar undi. Kalau tinggi, peluang kita menang pun tinggi,” katanya.

PRU-14 pada 2018 mencipta sejarah apabila rakyat memilih kerajaan baharu PH dengan menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah selama 60 tahun.

PH ketika itu terdiri daripada empat parti pembangkang iaitu DAP, PKR, PPBM dan Amanah, memenangi 113 daripada 222 kerusi parlimen sekaligus membentuk kerajaan baharu dengan majoriti mudah.

Gabungan itu kemudian memilih Tun Dr Mahathir Mohamad, 93, sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh pada 10 Mei.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast