Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Town Hall Wacana Pemicuan Undi 18 Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 13 NOVEMBER 2021.

SHAH ALAM – Tradisi belia yang sering dikaitkan dengan kompang dan pintu gerbang mesti dihapuskan kerana ia sudah ketinggalan zaman, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita mahu hapuskan tradisi belia yang selalu dikaitkan kompang dan pintu gerbang. Setiap kali ada majlis, belia dipanggil untuk palu kompang dan pasang hiasan di pintu gerbang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program TownHall Undi 18: Wacana Pemicuan Undi 18 Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Tetap Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan negeri, Mohd Khairuddin Othman.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang menegaskan, trend seperti itu sudah ketinggalan dan belia seharusnya diangkat ke tahap lebih tinggi dengan mendedahkan mereka kepada tanggungjawab untuk menegakkan keadilan dan membicarakan soal pengangguran.

Anwar juga menjelaskan, anak muda perlu tahu mengenai isu Pandora Papers dan 1MDB yang melibatkan berbilion ringgit duit rakyat disalahgunakan oleh pemimpin yang berkuasa.

“Anak muda harus ada minat untuk ketahui dua isu besar ini. Apa latarbelakangnya, apa yang berlaku, mereka perlu tahu. Kalau mereka tidak tahu, macam mana mereka boleh diangkat jadi pemimpin masa depan?

“Malangnya, sampai sekarang anak muda tidak tahu apa-apa. Maknanya ada kelemahan besar dalam struktur pimpinan kita. Kita kena dekati mereka dari sekarang. Dedahkan mereka mengenai politik,” katanya.

Menurutnya, belia tidak berminat dengan politik atau tidak mahu ambil tahu hal politik bukan perkara baharu.

Menurutnya, ini disebabkan mereka tidak ada pendedahan mengenai politik dan hal ehwal pentadbiran kerajaan di peringkat persekutuan mahupun negeri oleh golongan politik sendiri.

Bagaimanapun, beliau optimis apabila datang suasana yang menuntut golongan itu tahu mengenai politik, mereka tidak dapat mengelak daripada perlu mengetahuinya.

Justeru, Pengerusi Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) itu memberitahu, sudah sampai masanya golongan belia diberi kesedaran dan memikirkan hala tuju mengenai politik negara.

“Semua ini terletak kepada kita (pemimpin politik) untuk bagaimana hendak memberi pencerahan dan kesedaran kepada mereka.

“Kalau ditanya secara peribadi kepada belia, semua tidak mempedulikan pasal politik tetapi kita dalam kalangan orang politik ini kena berusaha, kena ada gerakan untuk menghidupkan suasana politik dalam kalangan anak muda,” katanya.

Menurut Anwar, selain politik, golongan belia perlu didedahkan berhubung tingkah laku pemimpin terutama dari kerajaan yang bergelumang dengan rasuah dan menyonglap wang negara untuk kepentingan diri.

“Tanggungjawab memberi pendedahan ini terletak kepada kita (dari kalangan pembangkang), takkan kita nak biarkan kelompok yang berkuasa dan bergelombang dengan rasuah beri pendidikan mengenai politik kepada anak muda, mampuslah dia (belia).

“Sebab itu petanda sama ada pendedahan atau pencerahan akan berlaku atau tidak ianya bergantung kepada pemerintahan dan kita harus ambil peluang ini dari dulu lagi untuk menarik sokongan belia,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast