Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), Datuk Zainuddin Abd. Rahman bercakap kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 10 JULAI 2018.
Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), Datuk Zainuddin Abd. Rahman

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) menggesa kerajaan mengambil tindakan pantas untuk meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) bagi merancakkan kembali industri automotif negara, pasca COVID-19.

Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden PEKEMA Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata melalui pelaksanaan perjanjian ini, Malaysia bakal mendapat manfaat akses pasaran baharu di Kanada, Mexico dan Peru.

“PEKEMA berpandangan bahawa pembukaan pasaran baharu ini bukan sahaja memperkukuhkan kerjasama ekonomi sedia ada dengan kesemua negara tersebut, malah memastikan eksport barangan automotif negara terutamanya produk komponen dan alat ganti menerima layanan akses pasaran yang lebih baik melalui inisiatif penghapusan cukai import ke atas barangan itu,” jelasnya.

Selain itu, Zainuddin berkata langkah meratifikasikan perjanjian CPTPP akan membolehkan pengeluar serta vendor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor automotif, khususnya usahawan Bumiputera, kekal berdaya saing dan mendapat manfaat daripada pelbagai program dan inisiatif di bawah CPTPP seperti yang sedang dinikmati oleh Vietnam.

Beliau mengulangi ratifikasi CPTPP adalah langkah terbaik dalam proses pemulihan ekonomi negara, pasca pandemik.

“Justeru, PEKEMA berharap kerajaan akan terus mempergiatkan usaha bagi meratifikasi CPTPP dan memastikan perjanjian ini boleh dikuatkuasakan oleh Malaysia selewat-lewatnya tahun hadapan bagi membolehkan industri automotif negara meraih manfaat sepenuhnya daripada perjanjian ini,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast