Ketua Angkatan Muda PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir bercakap kepada media semasa hadir minum petang bersama penduduk kampung di Warung warga Felda Tun Ghaffar, Kemendor, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 13 NOVEMBER 2021.

JASIN – Ketua Angkatan Muda PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berpandangan pertembungan ego antara pemimpin politik tidak mendatangkan keuntungan kepada pengundi khususnya rakyat Johor.

Malah politik ugut-mengugut seharusnya diketepikan kerana ia tidak diperlukan rakyat.

“Jadi, kalau ugut mengugut atau pun bercerita soal nak tekan button dan menumbangkan lagi mana-mana negeri untuk memanggil pilihan raya, saya mengharapkan tokoh-tokoh politik ini melihat kerangka yang lebih besar.

“Kita berpolitik ini bukannya nak ugut mengugut kerana yang susah nanti adalah pengundi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim di sini hari ini.

Akmal berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata cabaran veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad agar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Johor berniat jahat dan tidak bijak.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kemudiannya berkata pihaknya boleh berbuat demikian namun adalah tidak wajar untuk mengheret rakyat Johor menerima nasib sama seperti rakyat Melaka selepas apa yang dilakukan bekas pemimpin UMNO di negeri itu.

Mengulas lanjut, Akmal menasihatkan agar percikan kancah politik yang mencengkam kedua-dua pihak antara PN dan Barisan Nasional (BN) di Melaka tidak merebak ke negeri-negeri lain.

“Harapan saya pada supaya para pemimpin politik tumpukan balik kepada isu2 rakyat apa yang sebenarnya orang Melaka hendak. Jangan jadikan kancah yang berlaku di Melaka ini untuk merosakkan di di tempat-tempat yang lain,” katanya lagi.

Semalam, Muhyiddin dilihat meninggikan suaranya terhadap cadangan Shahrir yang mencabar agar Bersatu Johor menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Abdullah.

“Jangan cabar saya, saya pemimpin Bersatu, PN. Nasib rakyat adalah yang utama. Shahril tidak fikir. Dia nak mencabar saya, saya boleh buat. Sekarang pun saya boleh tekan button, semua jatuh. Kamu nak itu berlaku?

“Tengok apa yang UMNO buat di Melaka? Jahat. UMNO sendiri tumbangkan kerajaan dia. Shahrir minta Bersatu tarik sokongan, kerajaan yang dipimpin oleh Menteri Besar daripada UMNO itu akan jatuh. Bijak ke bodoh? Minta maaf ya,” katanya pada sidang  media di Kampung Air Panas di sini petang semalam.

Shahrir yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru dilaporkan berkata, UMNO Johor bersedia menghadapi PRN jika PN mahu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri itu. – MalaysiaGazette