Pengerusi Jawatankuasa Tetap Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Town Hall Wacana Pemicuan Undi 18 Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 13 NOVEMBER 2021.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor dalam persiapan merangka pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri selaras dengan kelulusan pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 15 Julai 2019.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan negeri, Mohd Khairuddin Othman supaya umur layak mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun.

Beliau berkata, Rang Undang-Undang (Pindaan) 2019 itu akan meminda perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur warganegara yang layak bertanding dalam pilihan raya daripada 21 kepada 18 tahun.

Katanya, sidang DUN juga akan meminda perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan yang menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

“Sebagai persiapan, kerajaan negeri mengadakan program Townhall Undi18: Wacana Pemicuan Undi18 peringkat Selangor hari ini di Dewan Jubli Perak, SUK Shah Alam.

“Program ini menjemput Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berkongsi pandangan berkaitan pindaan Perlembagaan Persekutuan itu,” katanya pada majlis itu di sini hari ini.

Menurut Mohd Khairuddin, Program Townhall Undi 18 itu melibatkan institut pengajian tinggi, parti politik, agensi kerajaan, persatuan, NGO, belia dan masyarakat amnya dalam mengumpulkan dapatan berkaitan pelaksanaan Undi18 di peringkat Selangor.

Kerajaan negeri katanya, akan mengemukakan usul pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor itu dalam sidang DUN pada 26 November hingga 9 Disember ini. – MalaysiaGazette