Lim Ban Hong

MELAKA – Calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang, Datuk Lim Ban Hong membidas tuntutan DAP supaya meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) jika yakin Barisan Nasional (BN)  mampu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini.

Menurutnya, isu berkenaan tidak sepatutnya timbul dan dikaitkan dengan keyakinan BN untuk menang selain pencalonannya juga mendapat kelulusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengikut undang-undang ditetapkan.

“Penamaan calon saya di DUN Klebang dibenarkan undang-undang dan bila saya kemukakan kepada SPR, tidak ada persoalan atau bantahan dikemukakan oleh calon lain bertanding.

“Jadi saya fikir tak sepatutnya persoalan dibangkitkan parti lain termasuk meletak jawatan sebagai timbalan menteri dengan keyakinan kemenangan BN. Malah saya juga sudah mohon cuti untuk berkempen,” katanya ketika ditemui media di sebuah restoran di Klebang di sini hari ini.

Terdahulu, dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP hari ini, Pengarah Pilihan Raya DAP bagi PRN Melaka, Khoo Poay Tiong mendakwa tiga calon PRN daripada BN dan Perikatan Nasional (PN) sendiri tidak yakin mampu menang PRN Melaka kerana masih memegang jawatan di peringkat pusat.

Tiga calon disebut Ahli Parlimen Kota Melaka itu adalah, Ban Hong Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dan Timbalan Speaker Dewan Negara Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad mewakili BN di DUN Sungai Udang.

Poay Tiong mendakwa, jika BN dan PN yakin mampu memenangi PRN kali ini, ketiga-tiga calon berkenaan yang sudah mempunyai jawatan di peringkat Kerajaan Pusat sepatutnya bersedia meletak jawatan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ban Hong yang juga Pengerusi MCA Melaka berkata, akan melancarkan manifesto DUN Kelebang esok yang antaranya memfokuskan kepada isu rumah mampu milik, pembangunan Dataran Klebang dan kesesakan lalu lintas.

DUN Klebang yang mempunyai 19,976 pengundi bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Ban Hong dengan penyandang, Guen Teck (PH-PKR) dan Bakri Jamaluddin (PN-Pas). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast