Rina Harun

KOTA LAKSAMANA – Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Rina Mohd Harun menaruh sepenuh keyakinan terhadap dua calon wanita gabungan parti itu di DUN Kota Laksamana dan DUN Bandar Hilir.

Beliau yakin Fong Khai Ling dan Clarice Chan Ming Wang – kedua-duanya mewakili Gerakan dapat memenangi kerusi yang mereka tandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Rina ketika ditemui Malaysia Gazette di Bilik Operasi Utama PN di sini berkata, kedua-dua mereka mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi kerusi yang ditandingi.

“Mereka merupakan calon baharu tapi saya yakin dengan semangat waja yang mereka ada  dan terus berusaha tanpa henti-henti,” jelasnya.

Beliau yang turut turun padang malam ini bagi memberikan sokongan terutamanya kepada dua calon wanita dari PN dan turut diiringi Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd Salleh dan Ketua Wanita Nasional Gerakan, Janice Wong Oi Foon.

Bagaimanapun, calon DUN Kota Laksamana, Fong Khai Ling tidak kelihatan kerana tidak sihat.

Calon DUN Bandar Hilir, Clarice Chan Ming Wang ketika ditemui berjanji berusaha sedaya upaya untuk memenangi kerusi yang disandang Tey Kok Kiew (DAP) sebelum ini.

“Sebab ini memang kawasan DAP tapi saya harap, pengundi-pengundi dapat melihat kebolehan dan keupayaan saya dan mengundi saya,” katanya ketika ditemui di sini malam ini.

Clarice sedar pendekatan kempen secara digital tidak seratus peratus sampai kepada pengundi di kawasannya terutama kepada kira-kira 50 peratus pengundi sudah melebihi usia 50 tahun.

Justeru pendekatan bersemuka dengan pengundi melalui cara makan di kedai-kedai dan memakai baju yang tertera namanya sebagai calon perlu dilakukan.

Ditanya mengenai perkara pertama yang akan dilakukan jika diberikan mandat,, Clarice mahu memberi tumpuan aspek kesihatan penduduk.

Beliau juga akan memohon peruntukan untuk pembersihan sesetengah kawasan yang didapati kotor dan menjadi pembiakan nyamuk aedes.- MalaysiaGazette