Ayob menunjukkan rampasan dadah dalam operasi di Kota Tinggi, Johor.

JOHOR BAHRU – Lima dalang termasuk pasangan suami isteri yang terlibat dalam sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah sekitar Kota Tinggi berjaya ditumpaskan polis Johor dalam dua serbuan berasingan di Johor.

Ketua Polis Johor,Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan pertama, dua lelaki berusia 39 tahun dan 49 tahun termasuk warganegara Indonesia telah di tangkap di tepi jalan dekat Kota Tinggi pada 9 November lalu bersama sejumlah rampasan dadah jenis ganja.

Hasil pemeriksaan, polis berjaya menemui 14.557 kilogram (kg) ganja di dalam bonet kereta yang dinaiki suspek bernilai RM36,392.50.

Modus operandi sindiket berkenaan adalah menyeludup dadah ke negara jiran melalui jalan laut sejak empat bulan lalu.

“Hasil saringan ujian air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Manakala, semakan rekod mendapati salah seorang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah. Kedua-dua mereka direman sehingga Selasa ini,” katanya dalam sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJ) Johor menggagalkan dua sindiket penyeludupan dadah di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Ayob berkata, susulan penangkapan itu, tiga lagi suspek berjaya dicekup keesokan harinya termasuk pasangan suami isteri berusia 59 dan 53 tahun dalam dua serbuan berasingan di sekitar Johor.

Katanya, dalam serbuan itu, pelbagai jenis dadah dirampas termasuk serbuk ekstasi, ketamin,shabu,pil eramin, five dan pil ekstasi dengan nilai anggaran RM1.07 juta berjaya dirampas.

“Dalam operasi berasingan ini pada 10 November pukul 9 pagi hingga 2 petang itu kita berjaya menahan satu lelaki warga tempatan berumur 23 tahun.

“Susulan itu ,polis berjaya menahan pasangan suami isteri dan hasil saringan ujian air kencing satu suspek positif dadah dan seorang lagi mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah,” tambah beliau.

Kata Ayob, modus operandi sindiket dadah ini adalah menyewa apartment yang mempunyai pengawal keselamatan untuk dijadikan sebagai stor pembungkusan dadah bagi aktiviti private party (parti persendirian) dan pusat hiburan sekitar Johor.

Sindiket ini telah beroperasi sejak awal Ogos lalu.

Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan bagi kedua-dua operasi adalah RM1.3 juta.- MalaysiaGazette