Janna Nick.

KUALA LUMPUR – Trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 menjadi milik artis serba boleh, Janna Nick dengan dengan 86,374,777 undi.

Janna yang berada dalam dunia seni sejak sembilan tahun lalu, mengumpul undian tertinggi dalam sejarah penganjuran ABPBH menewaskan calon pilihan lain seperti Haqiem Rusli, Siti Nordiana, Khai Bahar dan Siti Saleha.

Selain trofi utama, pelakon, pengacara, penyanyi dan pengarah popular berusia 26 tahun turut membolot trofi Pelakon Filem Wanita Popular mengetepikan empat calon lain iaitu Sherry Alhadad, Nelydia Senrose, Zahirah MacWilson dan Aprena Manrose.

Janna atau nama sebenar, Nurul Jannah Muner turut memenangi trofi Pengacara TV Popular menewaskan Azira Shafinaz, Mira Filzah, Sherry dan Jihan Muse.

Kemenangan Janna diumumkan pada Malam Kemuncak ABPBH 34 yang disiarkan secara langsung TV3 dari Pusat Konvensyen Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini, malam tadi.

Selain trofi, Janna menerima sebuah kereta dan telefon pintar Xiaomi 11T Pro (8GB + 256GB) bernilai RM2,099 sumbangan penaja utama ABPBH 34, Xiaomi.

Sejak kebelakangan iini, karier gadis kelahiran Alor Setar, Kedah ini, Janna menjadi antara selebriti yang tidak pernah lekang dihimpit kontroversi.

Ada sahaja cerita negatif menghambat dirinya, baik dalam aspek kerjaya, peribadi mahu pun imej seksi.