KUALA LUMPUR – Ratifikasi awal Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik () akan membantu pengeksport Malaysia untuk mendapatkan akses keutamaan pasaran dalam kalangan negara CPTPP untuk kekal berdaya saing berbanding pesaing serantau.

Presiden Konsortium Syarikat Pertengahan Malaysia (MCMTC), Callum Chen berkata, dua daripada pesaing serantau Malaysia iaitu Singapura dan Vietnam sudah pun mendapat manfaat daripada keahlian CPTPP dengan mengguna pakai strategi teguh yang bertujuan untuk mengukuhkan daya tahan dan kemampanan ekonomi mereka.

Menurutnya, CPTPP akan meningkatkan perdagangan luar dan memperkukuh pelaburan langsung asing (FDI) jangka sederhana hingga panjang di Malaysia dengan mengurangkan kos import dan eksport.

Selain itu, ia mewujudkan medan permainan yang lebih seimbang bagi Malaysia di pasaran serantau dan meningkatkan akses pasaran antarabangsa untuk firma tempatan.

”MCMTC berharap kerajaan dapat mempercepatkan ratifikasi CPTPP menjelang Disember 2021 kerana ini adalah salah satu pilihan terbaik untuk menjaga kedudukan ekonominya dan pulih daripada pandemik Covid-19,” katanya.

Jelas beliau, mencari akses baharu atau diperluas kepada pasaran eksport utama dan menarik lebih banyak pelaburan bermakna lebih banyak peluang untuk perniagaan, termasuk perusahaan kecil dan sederha akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan bergaji yang lebih baik untuk rakyat negara ini.

CPTPP ialah perjanjian perdagangan moden yang menyatukan 11 negara di kedua-dua belah Pasifik; Kanada, Australia, Brunei, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Walaupun Malaysia menandatangani perjanjian itu pada 2018, kerajaan kita masih belum meratifikasi CPTPP. – MalaysiaGazette