Mohd Muazzam Mohamed

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) bersedia membantu pelanggan yang memerlukan sokongan tambahan berhubung komitmen bulanan mereka melalui penawaran Program Pengurusan Kewangan dan Ketahanan (URUS) yang bermula semalam.

Permohonan bantuan ini dibuka sehingga 31 Januari 2022 kepada pelanggan B50 yang layak.

Bank Islam akan menyediakan pra-pemprosesan permohonan URUS sebelum diserahkan kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk semakan dan kelulusan selanjutnya.

Setelah mengemukakan permohonan lengkap mereka kepada AKPK, Bank Islam akan memaklumkannya kepada pelanggan melalui e-mel.

Seterusnya, AKPK akan menghantar e-mel kepada pemohon berhubung pelan kewangan peribadi dan status permohonan.

URUS yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 13 Oktober 2021 membolehkan industri perbankan untuk terus membantu pelanggan B50 dalam menguruskan komitmen pembiayaan mereka dalam persekitaran semasa yang mencabar akibat pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed menjangkakan ekonomi Malaysia beransur pulih dengan lebih banyak aktiviti ekonomi dan perjalanan antara negeri dan antarabangsa dibenarkan.

Walaupun keadaan beransur-ansur kembali normal serta penyesuaian dengan norma baharu, Bank juga sedar bahawa pelanggan memerlukan sokongan kewangan tambahan.

”Dengan pelaksanaan URUS, ia akan membolehkan Bank Islam mengurangkan lagi kesan pandemik melalui penyediaan bantuan yang amat diperlukan kepada segmen komuniti yang paling terkesan, khususnya B50,” ujarnya.

URUS tersedia sebagai permohonan pilihan untuk pelanggan di bawah program bantuan pembayaran sedia ada mulai 30 September 2021 bagi pelanggan di bawah kategori B50 (pelanggan berpendapatan isi rumah kurang daripada RM5,880) dan mengalami kehilangan pekerjaan atau pengurangan pendapatan sekurang-kurangnya 50%.

Pelan kewangan peribadi termasuk pengecualian keuntungan selama tiga bulan, pembayaran tertunda dan pilihan lain, termasuk pengurangan ansuran.

Program ini membantu pelanggan menguruskan komitmen pembiayaan keseluruhan mengikut kemampuan mereka.

Pelan tersebut juga tersedia untuk pelanggan yang mempunyai pembiayaan tidak bercagar, termasuk kemudahan Kad Kredit-i Bank Islam. Pelanggan dikehendaki mengemukakan hanya satu daripada dokumen berikut untuk memohon:
• Penyata KWSP; atau
• Penyata bank; atau
• Borang cukai pendapatan; atau
• Slip gaji/baucar bayaran; atau
• Surat pemberhentian kerja daripada majikan terdahulu.

Walau bagaimanapun, Bank boleh meminta dokumen sokongan lain mengikut keperluan. – MalaysiaGazette