Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai bercakap kepada media pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas melawat ke Bazar Ole-Ole, Bandar Hilir, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 16 NOVEMBER 2021.

BANDAR HILIR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan bertemu dengan Menteri Besar Kedah bagi mendapatkan penjelasan berhubung keputusan kerajaan negeri yang tidak akan meluluskan lesen kepada premis perjudian.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, pihaknya menghormati keputusan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung perkara tersebut namun ia juga melibatkan hak rakyat Malaysia yang  berbilang kaum dan agama.

“Kita setuju tidak ada agama yang akan menggalakkan penganutnya berjudi di seluruh dunia ini tetapi di negara kita agak berlainan sedikit kerana kita ada negara berbilang kaum, berbilang agama dan budaya.

“Kita pun banyak terima pelbagai aduan daripada orang Cina, orang India yang mengatakan tentang hak mereka meskipun bukan mereka sukar untuk tidak berjudi tetapi ini melibatkan Perlembagaan dalam negara kita bahawa rakyat Malaysia ada hak-hak tersendiri,” katanya yang memberitahu perjumpaan itu akan diatur selepas berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Dominic berharap menerusi pertemuan itu satu titik optimum akan dapat dicapai bagi membolehkan situasi menang-menang terhadap langkah yang telahpun diputuskan.

Pada Isnin lalu, Sanusi mengumumkan Kedah menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak lagi akan memberi kelulusan lesen premis perjudian selain menghadkan aktiviti penjualan arak di seluruh negeri berkuatkuasa serta-merta.

Katanya, keputusan tersebut dibuat pada mesyuarat Exco minggu lalu dalam usaha mengelak kemudaratan yang lebih banyak kepada penduduk di negeri itu.

Dalam pada itu Dominic ketika ditanya sama ada keputusan yang dibuat oleh Sanusi akan menjejaskan kempen parti Perikatan Nasional (PN) ekoran Pas merupakan kompone gabungan parti, beliau menjelaskan, ia merupakan situasi berbeza kerana keputusan tidak memberi kelulusan lesen perjudian itu berlaku di Kedah dan bukan di Melaka.

Tegasnya, perkara itu tidak boleh dijadikan isu untuk dibawa ke Melaka kerana tiada kaitan langsung.

“Tidak boleh bawa isu ini ke PRN Melaka. Tapi, apa pun bagi PRN Melaka ini kita akan buat sebaik mungkin untuk mencapai kemenangan,” ujarnya.

Terdahulu, Dominic menyertai walkabout bersama Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan calon parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir, Clarice Chan Ming Wang.

Mohamed Azmin pada sebelah pagi menyantuni peniaga dan orang ramai di Medan Selera Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka (MBMB) di Batu Berendam bersama calon PN Pengakalan Batu Mohd Azrudin Md Idris dalam usaha membantu kempennya pada PRN Melaka selama tiga hari sejak semalam. – MalaysiaGazette