Pekebun di daerah Seberang Perai Tengah dakwa mengalami kerugian akibat kawasan tanaman dinaiki air.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang mendakwa Kerajaan DAP tidak peduli nasib rakyat negeri itu susulan gagal menyelesaikan masalah banjir yang menghantui pekebun di daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, kerajaan DAP juga dilihat seolah-olah tidak mengambil berat dengan nasib lebih 15 pekebun yang mengalami kerugian besar akibat kawasan mereka dilanda banjir lebih 10 kali.

Oh Tong Keong.

Jelas beliau, masalah kebun sayur di SPT dinaiki air bermula sejak bulan Mei lalu dan pekebun terlibat dikatakan telah meminta bantuan daripada beberapa orang ahli parlimen Pakatan Harapan, namun sehingga kini tiada bantuan dihulurkan kepada mereka.

“Masalah banjir di kawasan sekitar kebun sayur amat serius kerana banjir masih berlaku di kawasan itu walaupun bukan musim hujan.

“Lebih 15 pekebun sayur mengalami kerugian besar akibat banjir ini dan mereka merayu kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow untuk membantu mereka menyelesaikan masalah banjir yang membelenggu mereka lebih daripada 30 tahun.

“Kerajaan negeri perlu mengambil langkah penyelesaian dengan cepat agar masalah banjir tidak menghantui pekebun-pekebun terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Tong Keong, masalah pintu air pam yang tidak berfungsi dengan baik merupakan salah satu faktor banjir namun pihaknya tidak pasti sama ada kerajaan negeri sedia maklum berhubung isu tersebut.

“Saya mahu mereka beri penjelasan berhubung masalah pintu air pam kerana ia turut menjadi punca banjir di kawasan tersebut.

“Jika masalah pekebun sayur pun kerajaan negeri gagal selesaikan bagaimana mereka boleh bawa kemajuan buat rakyat di Pulau Pinang?,” soal Tong Keong. – MalaysiaGazette