IMBAS SEMULA. Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz memeriksa perbarisan kawalan kehormat Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja pada hari pertama memulakan tugas di Kementerian Pertahan (MinDef), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 12 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited mempertingkatkan kesiapsagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya menjadi satu angkatan yang bersepadu, tangkas dan berfokus.

Antara inisiatif yang akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) ialah memperkukuhkan benteng pertahanan di Sabah dan Sarawak.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, ia termasuk projek pembinaan Kem 5 Briged Tentera Darat Malaysia (TDM) di Kota Belud, Sabah dan projek pembinaan Bare Base Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Bintulu, Sarawak.

Kata beliau, bagi meningkatkan keselamatan maritim di perairan negara, beberapa perolehan aset baharu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) seperti lapan Littoral Mission Ship (LMS) dan 13 Fast Interceptor Craft (FIC).

“Selain itu, Kementerian Pertahanan akan terus menekankan aspek kebajikan anggota ATM melalui pelbagai inisiatif yang akan diteruskan di bawah RMK-12.

“Antara projek yang bakal dilaksanakan ialah pembinaan baharu 10,200 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di seluruh negara.

“Kerajaan juga akan menaik taraf Hospital Angkatan Tentera (HAT) Terendak di Sungai Udang, Melaka, yang akan memberi manfaat bukan sahaja kepada anggota tentera, bahkan penduduk dan kawasan sekitar,” katanya menggulung perbahasan RUU Perbekalan 2022 di Parlimen, hari ini.

Ikmal Hisham berkata, segala perancangan itu akan berjaya dicapai melalui sokongan jitu dari rakyat seiring dengan komitmen kerajaan dalam menyediakan peruntukan yang menyentuh keperluan pembangunan aspek keselamatan dan pertahanan negara.

Kata beliau, menjadi keutamaan Kementerian Pertahanan mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur.

Menurutnya, setiap perancangan dibuat berlandaskan kepentingan negara sama ada di dalam mahupun di luar negara agar ATM mampu mendepani cabaran keselamatan tradisional dan bukan tradisional pada masa kini dan akan datang. – MalaysiaGazette