Kapten Mohamad Affendi menerima anugerah Green Endorsement TUDM di Subang Jaya baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Kapten Mohamad Affendi Bustamy yang terbunuh dalam insiden pesawat pejuang Hawk terhempas semalam merupakan pemenang Anugerah Green Endorsement menerusi Anugerah Inovasi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Berdasarkan laporan di portal rasmi TUDM, Mohamad Affendi diberikan anugerah itu sebagai pengiktirafan kerana berjaya melakukan tindakan yang membolehkan pesawat berhenti dengan selamat tanpa kemudaratan.

Penyampaian anugerah itu dilakukan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad bertempat di Auditorium AWC, Pangkalan Udara Subang, Selangor pada minggu lepas.

MalaysiaGazette semalam melaporkan seorang juruterbang maut manakala seorang lagi cedera selepas pesawat pejuang Hawk milik TUDM terhempas kira-kira pukul 10.07 malam.

Markas Tentera Udara dalam satu kenyataan mengesahkan identiti mangsa maut sebagai Kapten Mohamad Affendi Bustamy manakala juruterbang yang cedera, Mejar Mohd Fareez Omar.

Mejar Mohd Fareez kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) manakala jenazah Kapten Mohamad Affendi turut dibawa ke hospital sama untuk proses bedah siasat.

Difahamkan proses bedah siasat akan dijalankan pukul 9 pagi ini. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Seorang terbunuh, seorang cedera pesawat TUDM terhempas di Butterworth