Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR – Penetapan projek pembangunan semula atau menaik taraf bangunan sekolah daif dibuat berdasarkan analisis skor gred impak, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin.

Beliau berkata, penetapan itu dibuat bagi menentukan tahap keadaan komponen fizikal atau fasiliti bangunan di sekolah.

Menurut beliau, skor itu mempunyai tujuh tahap skala iaitu Skala 1 hingga 4 merujuk kepada keadaan bangunan yang masih berfungsi dan selamat digunakan.

Manakala, Skala 5 adalah bangunan yang dilaporkan oleh pihak sekolah sebagai tidak selamat dan memerlukan penyelenggaraan, Skala 6 pula merujuk kepada bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan daripada pihak teknikal Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Sementara Skala 7 merujuk kepada bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan syor roboh daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Bilangan sekolah yang mempunyai bangunan daif berskala 6 dan Skala 7 adalah bersifat dinamik dan akan berubah berdasarkan kondisi bangunan dari semasa ke semasa.

“Keutamaan KPM adalah kepada bangunan yang berada pada skala 6 dan skala 7 untuk dibina bangunan gantian mengikut keperluan.

“Pembinaan bangunan gantian ini dilaksanakan secara berfasa melalui peruntukan yang diluluskan oleh agensi pusat bagi setiap Rolling Plan (RP) dalam Rancangan Malaysia Lima Tahun,” katanya di Dewan Rakyat, tengah hari ini.

Mohamad berkata, sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), tahun 2016 sehingga 2020 dan RMK-12, RP 1 tahun 2021 sebanyak 14 projek menaik taraf dan membangun semula bangunan daif di sekolah telah diluluskan di Parlimen Serian dengan kos RM72.54 juta.

Sehingga kini, kata beliau, sebanyak lima projek telah siap, tiga projek berada dalam fasa pembinaan, manakala enam projek berada dalam fasa pra bina dengan perbelanjaan keseluruhan RM16.54 juta.

Mengenai silibus pendidikan perubahan iklim, beliau menjelaskan, KPM sentiasa berusaha untuk memastikan kurikulum yang digubal relevan dengan keadaan semasa.

Menurut beliau, elemen berhubung perubahan iklim telah diterapkan dalam topik tertentu berkaitan cuaca dan iklim dalam mata pelajaran Geografi, Sains, Sejarah serta Reka Bentuk Teknologi.

“Dalam mata pelajaran ini, murid didedahkan dengan pengetahuan dan kefahaman mengenai cuaca dan iklim. Mereka turut diberikan pendidikan melalui kerja lapangan, kajian kes dan aktiviti pembelajaran berasaskan projek.

“Murid juga didedahkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Ekonomi dan pelaksanaan Pendidikan Sivik dalam lima mata pelajaran itu.

“Selain pembelajaran dalam bilik darjah, murid didedahkan mengenai perubahan iklim melalui aktiviti pembelajaran luar bilik darjah seperti aktiviti literasi pencerapan cuaca dan iklim,” katanya.

Selain itu, terdapat aktiviti lain dilaksanakan melalui kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Alam Sekitar, pihak berkuasa tempatan dan badan bukan kerajaan (NGO). – MalaysiaGazette