82 pengunjung dan seorang pemilik sebuah pusat hiburan kelab malam di Kuchai Lama dikompaun berjumlah RM460,000 kerana melanggar SOP PPN Fasa 4 semalam.Gambar Ihsan IPD Brickfields

KUALA LUMPUR – Sejumlah besar pengunjung yang berkumpul dan berhibur di sebuah kelab malam sehingga mengabaikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara telah diambil tindakan oleh polis.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, serbuan itu dilakukan malam semalam membabitkan 23 pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Bahagian Siasatan Jenayah dan Balai Polis Sri Petaling.

Premis pusat hiburan di Kuchai Enterpreneurs Park itu didapati melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 4 2021 (Melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa 4.

“Kompaun bernilai RM25,000 telah dikeluarkan kepada pemilik premis kerana gagal memastikan pematuhan SOP dalam kelab malam itu.

82 pengunjung dan seorang pemilik sebuah pusat hiburan kelab malam di Kuchai Lama dikompaun berjumlah RM460,000 kerana melanggar SOP PPN Fasa 4 semalam.Gambar Ihsan IPD Brickfields

“Manakala sebanyak 82 pengunjung telah dikenakan kompaun bernilai RM5,000 setiap individu dan menjadikan jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan adalah bernilai RM435,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam serbuan yang sama juga,  seramai 91 orang pengunjung telah disaring ujian air kencing.

Hasil keputusan ujian saringan air kencing mendapati seorang individu positif dan telah ditahan untuk diambil tindakan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette