Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menyarankan tanah dan kediaman bernilai RM100 juta yang didakwa dipohonnya itu dijual sekiranya ia benar-benar sudah ada.

Menurutnya, dana RM100 juta yang diperolehi boleh dimasukkan dalam satu tabung khas untuk diberikan sebagai pinjaman tanpa sebarang faedah atau kos perkhidmatan kepada mereka yang sudah lama meminta i-Citra dinaikkan dari RM5,000 kepada RM10,000 sekiranya Menteri Kewangan masih tidak mahu meluluskan kenaikan had pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Kata bekas perdana menteri itu, nilai RM100 juta boleh memanfaatkan 20,000 penerima dengan nilai RM5,000 seorang.

Petang tadi, dalam satu sidang media Najib telah menarik permohonan untuk kediaman yang diberikan kerajaan kepada bekas-bekas perdana menteri.

Tindakan itu dibuat oleh Najib selepas isu permohonan saya pada tahun 2018 untuk diberi kediaman daripada kerajaan seperti hak bekas-bekas perdana menteri di bawah akta kerajaan menjadi bahan utama kempen Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional.

Sedangkan, kata Najib, beliau telah diberi pilihan tiga bidang tanah milik kerajaan dan beliau telah pilih satu.

”Saya tidak minta dibayar RM100 juta atau minta kerajaan belanja RM100 juta sebagai hadiah pada saya. Permohonan saya belum diluluskan pun.

”Saya tidak faham kenapa ianya dijadikan propaganda utama PRN Melaka mereka sedangkan ini adalah permohonan tahun 2018 dan saya bukan calon di Melaka ataupun presiden UMNO mahupun pengerusi BN. Tanah itupun bukan terletak di Melaka,” katanya.

Najib dalam pada itu mencabar PH dan PN supaya menjelaskan apa yang mereka mampu lakukan untuk pulihkan dan membangunkan Melaka yang sangat terjejas selepas PRU14.

”Apa rancangan korang bagi Melaka. Bukan hanya serang Najib. Dok ratib nama Najib. Orang Melaka nak tahu apa rancangan korang. Menghasut untuk membenci saya tidak bawa apa-apa faedah pada warga Melaka pun.

”Kini saya dah buat keputusan tarik balik permohonan saya untuk kediaman tersebut. Sebab saya tidak mahu isu ini digunakan sebagai modal PRN kempen Melaka.

”Jadi, apa lagi modal propaganda kempen Melaka korang selepas ini? Apakah tawaran korang kepada orang Melaka selain “Najib, Najib dan Najib”?,” katanya. – MalaysiaGazette