KUALA LUMPUR – Prestasi pasaran buruh di Malaysia masih belum menunjukkan peningkatan ke paras pra-pandemik.

Dari aspek penawaran menunjukkan prestasi sederhana berbanding setahun yang lepas dengan pertambahan penduduk bekerja dan sedikit peningkatan dalam pengangguran manakala dari segi permintaan oleh sektor ekonomi merekodkan penurunan perlahan.

Memasuki suku keempat 2021, situasi kesihatan awam dilihat bertambah baik seiring dengan perkembangan pantas vaksinasi apabila kebanyakan negeri beralih ke Fasa 4, ekonomi dijangka memperoleh semula momentum yang mana akan meningkatkan peluang pekerjaan sekali gus dapat memulihkan kedudukan pasaran buruh, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

Melihat kepada kesediaan negara untuk keluar daripada fasa pandemik, strategi dan inisiatif dalam Bajet 2022 dan RMKe-12 dijangka dapat mempertingkatkan interaksi pasaran buruh dan seterusnya memastikan pemulihan beransur-ansur kepada paras pra-pandemik.

Menurutnya, pasaran buruh pulih beransur-ansur pada suku ketiga 2021 disokong oleh peralihan kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN) selaras dengan peningkatan berterusan kadar vaksinasi sepanjang suku tahun ini.

Selain itu, Selangor dan Kuala Lumpur yang menyumbang sekitar 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan merangkumi 30 peratus guna tenaga negara, kekal dalam Fasa 1 bagi hampir keseluruhan tempoh suku ketiga yang mana hanya aktiviti perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi dengan waktu operasi yang terhad.

Kedua-dua negeri tersebut telah beralih ke Fasa 2 pada penghujung suku ketiga.

Dengan pelaksanaan PPN yang membolehkan pembukaan semula aktiviti sosial dan ekonomi secara progresif dan selamat dalam norma baharu, pasaran buruh menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding suku tahun sebelumnya.

Oleh itu, pemulihan beransur-ansur dalam pasaran buruh dilihat pada suku ketiga 2021 yang digambarkan oleh peningkatan sederhana guna tenaga berbanding suku yang sama tahun sebelumnya, manakala jawatan dalam sektor ekonomi merekodkan penyusutan perlahan.

Bilangan penduduk bekerja mencatatkan peningkatan sebanyak 1.2 peratus kepada 15.27 juta orang selepas meningkat 2.2 peratus pada suku sebelumnya.
Sementara itu, bilangan penganggur meningkat 0.2 peratus kepada 746.2 ribu orang (ST3 2020: 745.0 ribu orang), manakala kadar pengangguran kekal pada 4.7 peratus.

Pada suku ini, kadar penyertaan tenaga buruh turun 0.1 mata peratus kepada 68.3 peratus berbanding setahun yang lalu.

Dalam menjelaskan situasi guna tenaga tidak penuh pada suku ketiga 2021, beliau berkata, memandangkan sekitar 60 hingga 80 peratus pekerja sektor swasta dibenarkan bekerja di premis mengikut giliran tertakluk kepada fasa PPN manakala kebenaran pelanjutan waktu operasi perniagaan secara berperingkat sepanjang suku ketiga 2021, bilangan yang bekerja kurang dari 30 jam seminggu melonjak 15 peratus tahun ke tahun kepada 464, 400 orang (ST3 2020: 403. 800).

Susulan itu, kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan masa meningkat kepada 2.1 peratus, merangkumi 326, 200 orang (ST3 2020: 2.0%; 300, 800.

Dalam masa yang sama, bilangan penduduk bekerja berpendidikan tertiari yang bekerja dalam kategori pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah mencatatkan peningkatan 6.3 peratus berbanding suku ketiga 2020 merekodkan seramai 1.87 juta orang. Ini menyebabkan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran meningkat sebanyak 0.9 mata peratus kepada 37.7 peratus.

Dari aspek permintaan buruh, jumlah jawatan dalam sektor swasta berkurang sebanyak 0.8 peratus kepada 8.41 juta jawatan pada suku ketiga 2021 berbanding 8.47 juta jawatan pada suku yang sama tahun lalu.

Jawatan diisi jatuh 0.7 peratus kepada 8.23 juta jawatan (ST3 2020: 8.29 juta), sementara kekosongan jawatan berkurang sebanyak 3.0 peratus kepada 174.0 ribu jawatan (ST3 2020: 179,300).

Kadar kekosongan jawatan kekal pada 2.1 peratus bagi tempoh lima suku tahun berturut-turut sejak ST3 2020, manakala kadar jawatan diisi
adalah 97.9 peratus. Suku ketiga 2021 menyaksikan pewujudan jawatan lebih rendah iaitu 15,000 dibandingkan 21,000 jawatan pada suku sama setahun
yang lalu.

Dengan ekonomi kembali merekodkan penyusutan 4.5 peratus pada suku ketiga 2021, produktiviti buruh per pekerja jatuh 5.6 peratus tahun ke tahun (Q2 2021: 13.7%) berikutan pengurangan sebanyak 3.9 peratus jumlah jam bekerja kepada 8.21 bilion jam, produktiviti buruh per jam bekerja pada suku ketiga tahun ini terus mencatatkan penurunan yang lebih kecil iaitu negatif 0.6 peratus setelah merekodkan kejatuhan dua digit 12.9 peratus pada ST2 2021. – MalaysiaGazette