Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Abdul Razak Abdul Rahman sudah mula menyantuni para pengundinya apabila bersarapan di Pasar Tani Taman Seri Telok Mas, Melaka hari ini.

MELAKA – Terima kasih!

Itu ungkapan yang mampu diucapkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas yang baharu, Abdul Razak Abdul Rahman.

Hari ini, beliau sudah mula menyantuni para pengundinya apabila bersarapan di Pasar Tani Taman Seri Telok Mas.

“Pagi ini sesudah subuh dan sarapan, saya pergi ke Pasar Tani Taman Seri Telok Mas untuk beli barang dapur sikit.

“Sempat saya bertegur sapa dengan penduduk dan berterima kasih dengan mereka kerana memberi kepercayaan kepada saya. Ramai yang ucap tahniah. Alhamdulillah,” tulisnya di laman Twitternya hari ini.

Abdul Razak yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka dan Pengerusi Japerun Bandar Hilir menang bergaya mengalahkan tiga lagi calon lain dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam.

Beliau memperoleh 6,052 undi menewaskan calon Perikatan Nasional, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen memperoleh 3,976, calon Pakatan Harapan, Asraf Mukhlis Minghat (3,891) dan Bebas Muhammad Ariff Adly Mohammad (153).

Barisan Nasional telah berjaya membentuk kerajaan di Melaka apabila berjaya memenangi 21 kerusi daripada 28. -MalaysiaGazette