Kira-kira 11 beranak sekeluarga yang terperanglkap sebrang sungai akibat hujan lebat dan banjir air deras di Batang Kali berjaya diselamatkan bomba lewat petang tadi. Gambar Ihsan Bomba Selangor.

KUALA LUMPUR – Hujan lebat hampir tiga jam  sekitar Lembah Klang petang tadi mengakibatkan beberapa kawasan di sekitar Ampang dilanda banjir kilat.

Antara kawasan terlibat termasuk Taman Hillview, Kampung Lembah Jaya Utara dan Lembah Jaya Selatan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pasukannya menerima panggilan kecemasan pukul 7.19 malam sebelum menggerakkan dua jentera FRT bersama 14 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan dan BBP Ampang ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.

Keadaan banjir kilat dan air deras sungai sekitar perumahan di Ampang Hilir. Gambar Ihsan Bomba Selangor

“Hujan lebat berterusan menyebabkan tiga kawasan itu dilimpahi banjir kilat setinggi antara 0.3 meter hingga 1.5 meter. Banjir kilat turut menyebabkan tiga penduduk terperangkap dalam kediaman yang dinaiki air dan anggota kita menjalankan operasi mengeluarkan kesemua mangsa ke tempat selamat,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Norazam, keadaan air semakin surut dan pemantauan akan terus dijalankan secara berterusan sebelum memastikan keadaan benar-benar selamat.

Sementara itu, dua keluarga terdiri tiga dewasa dan lapan kanak-kanak termasuk seorang bayi berusia setahun dilaporkan terperangkap di seberang sungai ketika berkelah di Air Terjun Sungai Pinang, Jalan Batang Kali dekat sini petang tadi.

Hujan lebat hampir tiga jam mengakibatkan banjir kilat sekitar pinggiran di Ampang hari ini. Gambar Ihsan Bomba Selangor

“Kesemua mangsa berusia antara setahun hingga 65 tahun telah berkelah di kawasan itu sebelum terperangkap akibat air deras di sungai akibat hujan lebat.

“Bertindak atas maklumat itu, pasukan bomba dari BBP Bukit Sentosa telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan kejadian pukul 7.26 malam tadi.

Bomba terlibat dalam usaha menyelamatkan 11 sekeluarga yang terperangkap seberang sungai di Batang Kali semasa berkelah petang tadi.Gambar Ihsan Bomba Selangor.

“Usaha menyelamatkan mangsa selesai dijalankan sekitar pukul 9.45 malam tadi dan kesemua mangsa berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast