Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak bimbang dengan kenaikan berterusan harga ayam dan telur yang sudah cecah paras paling tinggi dalam sejarah.

Katanya, sejak bulan April lalu semasa kerajaan di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang lama, sudah beberapa kali beliau memberi amaran bahawa kaedah kerajaan untuk mengawal harga dengan menggunakan akta kawalan harga atau mengimport dari negara-negara jiran adalah cara lapuk yang tidak akan menyelesaikan masalah.

Namun, kerajaan ketika itu tetap buat.

Menurut beliau, jika harga kawalan yang rendah dikenakan di bawah kos pengeluaran, ia hanya akan membawa kepada kekurangan bekalan yang dihadapi sekarang.

”…sebab siapa yang masih mahu ternak ayam dan tanggung kerugian berterusan jika harga jualan adalah lebih rendah berbanding kos pengeluaran – seperti yang saya sudah beri amaran pada bulan April lalu,” kata bekas bekas perdana menteri itu.

Ayam dan telur merupakan makanan asas dan sumber protein utama bagi hampir semua rakyat Malaysia.

Beliau berkata, pada mulanya, punca utama ialah kos dedak yang naik melambung akibat impak pandemik Covid-19 global, diikuti oleh kekurangan pekerja di ladang sebab kerajaan telah hentikan pengambilan pekerja asing bagi industri ini dan menyebabkan kos pekerja naik.

Jika kerajaan tidak menyelesaikan kedua-dua masalah ini maka harga ayam dan telur hanya akan terus naik.

”Memang benar dedak merupakan antara bahagian kos terbesar bagi harga ayam dan memang kenaikan harga soya dan jagung menyumbang kepada harga dedak.

”Tapi bukan saja harga soya dan harga jagung naik tapi harga kebanyakan komoditi pertanian dunia mencanak naik juga di seluruh dunia termasuk harga sawit akibat kekurangan stok setelah pengeluaran tergendala pada tahun lepas ketika seluruh dunia buat lockdown yang memanjang.

”Namun, Malaysia ada pilihan,” ujar beliau.

Najib berkata, Kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu telah mengenakan cukai dunia runtuh sebanyak 3% apabila harga minyak sawit melebihi RM3,000 satu tan tetapi diturunkan ke RM2,500 oleh Kerajaan PH dahulu.

Apabila harga sawit mula melepasi RM3,000 satu tan pada akhir tahun lepas, Kerajaan PN sudah menjangka untuk mengutip cukai durian runtuh sebanyak RM500 juta.

Kini, harga sawit sudah melebihi RM4,300 maka hasil dari durian runtuh ini lagi besar.

Jika tidak cukup, boleh naikkan kadar cukai dari 3% ke 5% ataupun 7% secara berperingkat mengikut paras harga sawit sebab ia tidak memberi kesan yang besar kepada keuntungan pengeluar sawit di Malaysia sebab minyak sawit amat tinggi sekarangm ujarnya.

Jelasnya, keuntungan syarikat sawit gergasi seperti KL Kepong dan Sime Darby Plantations sudah meningkat sehingga lima kali ganda berbanding tempoh sebelum pandemik bermula.

”Maka hasil dari cukai durian runtuh ini boleh digunakan untuk memberi subsidi untuk dedak ayam bagi menurunkan semula harga ayam selagi harga komoditi tinggi dan selagi ekonomi pendapatan dan kadar pengangguran belum memulih.

”Subsidi gaji dari hasil cukai durian runtuh ini juga boleh digunakan bagi pekerja industri ternakan tempatan ini sekiranya kerajaan masih tidak membenarkan pengambilan pekerja asing.

”Pada saya, ini adalah sangat adil sebab syarikat sawit memperolehi keuntungan berganda luar biasa atas tanah Malaysia maka ianya patut juga dikongsi dengan rakyat Malaysia sebab apabila harga komoditi turun maka harga dedak turun,” ujarnya.

Kata Najib, ini satu-satu caranya sebab kaedah tradisional seperti kawalan harga atau membenarkan import ayam dari negara jiran tidak akan selesaikan masalah sebab harga dedak juga tinggi di negara-negara jiran – bukan sahaja di Malaysia. – MalaysiaGazette