Petugas Prasarana, Fatin Afiqah Arzmi menunjukkan replika Pas Keluarga Malaysia yang baru dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di KL Sentral, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 22 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pas Keluarga Malaysia akan membolehkan seramai empat orang dalam satu kumpulan menikmati perjalanan satu hari tanpa had pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum pada harga RM15 dengan menggunakan pengangkutan awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bermakna setiap seorang di dalam kumpulan ini hanya membayar RM3.75 untuk menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Monorel dan Bas Rapid Transit (BRT) di bawah kendalian Rapid KL sepanjang hari.

Jelas beliau, Pas Keluarga Malaysia itu akan dijual mulai 1 Disember ini.

“Inisiatif pengenalan Pas Keluarga Malaysia ini bertujuan menggalakkan keluarga Malaysia beriadah, bersiar-siar dan menghabiskan masa berkualiti dengan orang tersayang sambil mengunjungi pusat-pusat beli belah atau tempat-tempat menarik yang terdapat di sekitar jaringan pengangkutan awam di Kuala Lumpur dan Selangor.

“Saya percaya kemudahan pengangkutan awam yang efisiyen dan ketersambungan adalah penting bagi Keluarga Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan Pas Keluarga Malaysia di KL Sentral, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku
Abdul Aziz; Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Tan Sri Jamaludin Ibrahim dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasanana, Azharuddin Mat Sah

Mengulas lanjut, Ismail Sabri memuji Prasarana yang telah mengambil beberapa inisiatif bagi membantu para usahawan kecil untuk meningkatkan hasil jualan peniagaan mereka.

Jelas beliau, bertemakan Rapid KL Supports #KeluargaMalaysia, Kumpulan Prasarana menerusi Divisyen Komunikasi Strategik dan Pemasaran menggunakan platform-platform media sosial kendaliannya untuk mempromosikan produk peniaga-peniaga berasaskan makanan di sepanjang laluan pengangkutan kendalian Rapid KL termasuk di hab-hab bas.

“Di bawah kempen itu, Prasarana bukan sahaja membeli produk dan mencipta kandungan media sosial agar liputan percuma dan promosi secara agresif dapat diberikan kepada peniaga-peniaga.

“Malah mereka turut dibimbing dan diberi bantuan kepakaran mobilisasi Keluarga Malaysia,” katanya.

Ismail Sabri turut mengumumkan Prasarana menerusi anak syarikatnya syarikatnya Prasarana Integrated Development Sdn Bhd atau PRIDE akan menawarkan Pakej Transit untuk Pengusaha Industri Kecil dan Sederhana mulai bulan Mac 2022.

Menurut beliau menerusi pakej itu, sejumlah dua puluh lot perniagaan, bersaiz antara 80 kaki persegi hingga 400 kaki persegi di beberapa laluan akan ditawarkan kepada pengusaha Industri Kecil dan Sederhana secara cabutan lot.

Kata beliau, ia melibatkan stesen Laluan Kelana Jaya iaitu stesen Subang Alam, Alam Sutera, Putra Height, Taman Perindustrian Puchong, Awan Besar, IOI Puchong Jaya, Plaza Rakyat dan SS18.

“Pemohon yang berjaya akan menikmati struktur sewaan istimewa selama setahun termasuk pengecualian sewa selama tiga bulan.

“Perincian dan permohonan untuk “Pakej Transit” akan diwar-warkan oleh PRIDE dalam masa terdekat.

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menggalakkan pengusaha industri kecil dan sederhana untuk mengambil bahagian dan memperkasakan ekonomi setempat agar dapat melimpahkan kesejahteraan dan manfaat kepada
Keluarga Malaysia.

“Kerajaan memberi jaminan untuk terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab yang terbaik serta menjaga kebajikan rakyat. Konsep Keluarga Malaysia yang dibawa oleh Kerajaan hari ini akan terus dijadikan teras dalam seluruh Keluarga Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette