KUALA LUMPUR – Purata kes aktif Covid-19 menunjukkan peningkatan sebanyak enam peratus sehingga 20 November lalu bersamaan [Minggu Epidemiologi (ME) ke-46].
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan semula purata kes aktif selepas 10 minggu konsisten itu dilihat berlaku selepas kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri.
“Tren penurunan purata kes aktif yang dulunya konsisten selama 10 minggu kini telah menunjukkan peningkatan semula selepas lima minggu kebenaran merentas negeri diumumkan.
“Kesan peningkatan kes baharu dan kes aktif selama dua minggu berturut-turut ini dapat dilihat di mana kemasukan kes ke fasiliti kesihatan terutamanya bagi pesakit Kategori 3 hingga 5 mulai meningkat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Namun kata Dr. Noor Hisham, keberkesanan vaksin Covid-19 berjaya mengurangkan kematian meskipun terdapat peningkatan pesakit untuk kategori 3 hingga 5 di hospital.
Sementara itu, kes kematian akibat konsisten menunjukkan penurunan sebanyak 7.5 peratus dengan 347 kematian (ME ke-46) berbanding 375 kematian (ME ke-45).
Manakala purata kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi pula menunjukkan penurunan sebanyak 10 peratus iaitu 504 kes untuk tempoh yang sama.
Selain itu tambah Dr. Hisham, purata kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan menunjukkan sedikit penurunan (3.3 peratus) dari 186 kes.
Nilai Rt (kebolehjangkitan) pula katanya menurun sebanyak 0.8 peratus dari 1.05 (95% CI 1.05 – 1.06) kepada 1.01 (95% CI 1.00 – 1.02) sejak 15 November 2021.- MalaysiaGazette