Datuk Noorul (kanan) menyampaikan khairat kematian kepada suami Muslifah, bekas atlet menembak negara yang meninggal dunia baru-baru ini.

GEORGE TOWN – “Semua wang simpanan habis namun, kini saya masih perlu jelaskan baki kira-kira RM250,000 kepada pihak hospital.

Demikian luah suami Allahyarhamah Muslifah Zulkifli, bekas atlet penembak yang meninggal dunia akibat jangkitan dalam paru-paru selepas dimasukkan ke hospital kerana positif Covid-19.

Mohd Syamim.

Mohd Syamim Saharruddin, 36, berkata, kira-kira RM450,000 kos secara keseluruhan yang perlu dijelaskannya susulan Allahyarhamah Muslifah mendapatkan rawatan hampir 50 hari di sebuah hospital swasta di sini.

Katanya, dia minta dikecualikan baki pembayaran tersebut namun pihak hospital memintanya menulis surat untuk mendapatkan potongan bayaran (diskaun).

“Saya tak tahu berapa mereka (pihak hospital) nak bagi diskaun tapi kalau boleh saya nak minta dikecualikan pembayaran kerana semua wang simpanan yang ada telah diguna untuk menjelaskan kos rawatan Muslifah.

“Bagaimanapun, saya berterima kasih dengan pihak hospital kerana mereka memberikan kerjasama yang baik sepanjang proses rawatan termasuk membenarkan saya uruskan pengkebumian walaupun baki tertunggak bernilai ratusan ribu.

Di samping itu, saya juga memohon pihak hospital dapat memberikan saya masa untuk mengumpul semula wang bagi membayar kos rawatan yang masih tertunggak,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Terdahulu, Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed menziarahi keluarga Muslifah di Jelutong, di sini, bagi menyerahkan sumbangan khairat kematian.

Lagenda bola sepak, Datuk Shukor Salleh turut hadir menziarahi keluarga Mohd Syamim.

Hadir sama, lagenda bola sepak Malaysia, Shukor Salleh.

Mengulas lanjut Mohd Syamim berkata, dia juga berharap ada pihak yang sudi tampil menghulurkan sumbangan bagi melangsaikan bayaran tertunggak kos rawatan tersebut.

”Saya harap ada pihak datang bantu kami khususnya pihak yang pernah berurusan dengan arwah Muslifah dan ia secara tidak langsung mengenang jasanya sepanjang mewakili negara dalam sukan menembak,” katanya.

Sementara itu, Datuk Noorul Ariffin berkata, pihaknya akan membantu keluarga Allahyarhamah Muslifah untuk mendapatkan pengurangan serta sumbangan bagi melangsaikan baki kos rawatan bekas atlet tersebut.

Jelas beliau, sebagai langkah permulaan pihaknya telah berjumpa dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bagi membincangkan perkara itu dalam satu perjumpaan semalam.

Datuk Noorul Ariffin.

“Kon Yeow meminta pihak kami menyediakan surat sokongan bagi urusan mendapatkan potongan harga atau bayaran secara ansuran daripada pengurusan hospital.

“Dalam pertemuan tersebut Ketua Menteri turut meminta kita menulis surat permohonan kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Soon Lip Chee bagi bantuan lain.

“Selain itu, kita juga akan dapatkan bantuan dari Majlis Sukan Negara agar dapat meringgankan beban yang ditanggung keluarga ini,” kata beliau.

ARTIKEL BERKAITAN

Muslifah meninggal akibat kuman dalam paru-paru

Pada 6 November lalu MalaysiaGazette melaporkan Muslifah meninggal dunia selepas hampir 50 hari bertarung nyawa di sebuah hospital swasta.

Muslifah meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam paru-paru selepas dimasukkan ke hospital kerana positif Covid-19 pada 19 September lalu.

Muslifah adalah bekas penembak negara yang berada dalam program latihan pasukan kebangsaan dan pernah terbabit dalam Program Podium pada tahun 2015-2017.

Allahyarhamah memenangi pingat gangsa Sukan Asia 2014 bagi acara Rifle 50m Prone Berpasukan Wanita bersama Nur Suryani Taibi dan Ayuni Farhana Halim. – MalaysiaGazette