Ibu kepada Muslifah, Rohani Abd Wahab (tengah) menyiram air di pusara anaknya sebaik selepas majlis pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak di sini, hari ini.

GEORGE TOWN – “Isteri saya disahkan positif Covid-19 pada September lalu sebaik sahaja dimasukkan ke hospital namun dia sudah pulih sebelum kami dikejutkan dengan berita kesihatannya yang merosot akibat jangkitan dalam paru-paru.

Demikian jelas Mohd Syamim Saharruddin,36, ketika ditanya punca kematian Allahyarhamah Muslifah  Zulkifli, 35, bekas atlet menembak negara yang dilaporkan meninggal dunia di Hospital Gleneagles di sini, hari ini.

Mohd Syamim berkata, Muslifah meninggal dunia di sisinya  pada jam 2.17 pagi tadi, selepas hampir 50 hari menerima rawatan di hospital berkenaan.

Mohd Syamim.

“Isteri saya yang sedang hamil anak sulung kami dimasukkan ke hospital berkenaan pada 19 September lalu susulan demam dan batuk sebelum disahkan positif Covid-19. Dia juga belum menerima vaksin Covid-19.

“Selepas seminggu dirawat, kandungan memasuki usia lebih enam bulan itu dilahirkan secara normal namun disahkan meninggal dunia.

“Hari demi hari, Muslifah dilaporkan sudah pulih daripada Covid-19 namun masih menerima rawatan di unit rawatan rapi hospital swasta itu,” katanya ketika ditemui pemberita sebaik selesai majlis pengkebumian Muslifah di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak di sini.

Mengulas lanjut Mohd Syamim berkata, takut serta sayang kepadanya merupakan kata-kata terakhir arwah kepada dirinya.

“Ketika menerima rawatan di ICU isterinya sudah tidak boleh bercakap dan hanya mengangguk kepala tanda faham setiap kali saya melawatnya.

“Kami sekeluarga ingat dia akan pulih tetapi tiba-tiba kesihatan Muslifah kembali merosot akibat jangkitan kuman, sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi.

“Saya dan keluarga reda dengan ketentuan ini dan terima kasih kepada semua yang berdoa untuk kesihatannya pulih sebelum ini,” kata Mohd Syamim.

Ahli keluarga Muslifah tidak dapat menahan sebak ketika ditemui hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd Syamim berkata, pihaknya akan berusaha melunaskan baki bil rawatan Muslifah di hospital berkenaan.

“Sepanjang menerima rawatan, saya pernah beberapa kali meminta supaya arwah dipindahkan dan dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) namun difahamkan tiada kekosongan di sana pada masa itu.

“Saya belum memeriksa baki bil rawatan namun akan cuba selesaikan dan berterima kasih kepada pihak yang membantu memberi sumbangan,” katanya.

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan, Muslifah, jurulatih skuad menembak Wilayah Persekutuan, meninggal dunia pagi tadi.

Muslifah adalah bekas penembak negara yang lama berada dalam program latihan pasukan kebangsaan dan pernah terbabit dalam Program Podium pada tahun 2015-2017.

Allahyarhamah pernah memenangi pingat gangsa Sukan Asia 2014 bagi acara Rifle 50m Prone Berpasukan Wanita bersama Nur Suryani Taibi dan Ayuni Farhana Halim. – MalaysiaGazette