ROSOL WAHID
Rosol Wahid

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menyediakan saluran aduan kepada pengguna untuk membuat aduan sekiranya berlaku kenaikan harga barangan.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, orang ramai boleh terus mengadu menerusi aplikasi EzADU KPDNHEP bagi membolehkan pegawainya mengambil tindakan.

“Kita telah membangunkan satu portal atau saluran EzADU, yang mana setiap masalah yang dihadapi pengguna boleh terus kepada pegawai kita atau kementerian ini untuk diambil tindakan.

“Ada isu peniaga tertentu menaikkan harga tayar, harga sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lain, selepas PKP harga lain.

“Kemudian pengguna terus buat aduan kepada kita dan pegawai kita mengambil tindakan. Selepas itu harga tayar berkenaan telah turun. Ini menunjukkan keberkesanan EzADU KPDNHEP dan keberkesanan pegawai kita menjalankan tugas,” katanya di Parlimen pagi ini.

Di Pulau Pinang, MalaysiaGazette melaporkan, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa harga sayur-sayuran meningkat sehingga 200 peratus sejak dua minggu lalu.

Kenaikan harga sayur-sayuran itu ialah kubis bunga naik dari RM7 kepada RM16 sekilogram.

Sawi pendek juga melonjak kepada RM9 berbanding RM3 sebelum ini, brokoli RM8 kepada RM20 dan sawi RM5 kepada RM8.

Turut mengalami kenaikan ialah kacang buncis daripada RM8 kepada RM15 sekilogram, kubis RM4 kepada RM6, cili merah RM13 kepada RM19 dan cili hijau RM10 kepada RM14.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader dilaporkan berkata, pihaknya menerima aduan daripada peruncit mengenai kenaikan harga barangan berkenaan. – MalaysiaGazette