Ismail Abdul Mutalib

KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memandang serius isu lambakan rumah siap yang tidak terjual.

Timbalan Menteri, Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib berkata, masalah itu bukan isu baharu, tetapi kementeriannya sentiasa memperhalusi secara lebih konsisten bagi mencari jalan penyelesaian komprehensif dengan semua pemain industri peumahan.

“Kita tahu masalah lambakan rumah tidak terjual ini akan menyebabkan berlaku kelembapan pasaran hartanah yang memberi impak kepada ekosistem kemajuan perumahan serta menjejaskan rantaian ekonomi negara keseluruhan

“Berdasarkan laporan status Pasaran Hartanah oleh pusat dan Maklumat Hartanah Negara bagi suku kedua tahun 2021, terdapat 31,112 unit rumah siap dibina tidak terjual yang bernilai kira-kira RM20.1 bilion.

“Bagi suku ketiga tahun 2021 pula terdapat 30,290 unit rumah siap dibina tidak terjual bernilai RM19.75 bilion,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Parlimen, hari ini.

Menurut Ismail, rekod itu menunjukkan terdapat penurunan sebanyak 2.64 peratus dalam bilangan unit dan 1.74 peratus dalam nilai bagi suku tahun ketiga berbanding suku tahun kedua 2021.

Bagaimanapun, katanya, terdapat penurunan kadar lambakan rumah tidak terjual walaupun tidak ketara kerana terdapat pemaju menurunkan harga atau memberikan diskaun bagi membolehkan bekalan rumah sedia ada dapat dijual dalam ketidaktentuan ekonomi masa kini.

“Ini dibukitkan dengan penurunan indeks bagi harga rumah pada suku ketiga pada 198.6 mata berbanding suku ketiga 2020 sebanyak 199.9 mata yang menunjukkan penurunan 0.7 peratus.

“Kita harapkan lebih ramai pemaju menurunkan harga jualan rumah bagi membolehkan lambakan rumah dapat diatasi,” katanya.

Beliau turut menyenaraikan negeri tertinggi berdepan dengan masalah rumah siap tidak terjual iaitu Pulau Pinang sebanyak 4,638, diikuti Kuala Lumpur (3,893 unit), Perak (2,865 unit) dan Kelantan 114 unit.

Pecahan bagi apartment atau kondo adalah sebanyak 18,209 unit, teres dua dan tiga tingkat (5,687 unit) dan Semi-D (1,783 unit).

Menurut Ismail, terdapat beberapa inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan untuk membantu menjual rumah yang tidak laku seperti mengadakan kempen pemilikan rumah.

Selain itu, kerajaan memperkenalkan peraturan panduan kepada pemaju perumahan untuk mengemukakan kajian kebolehlaksanaan pembinaan rumah sebelum projek perumahan dilaksanakan.

“Mulai Jun 2020 hingga 31 Ogos lalu, terdapat sebanyak 67,576 unit rumah telah terjual dengan nilaian keseluruhan RM52.3 bilion sebelum diskaun dan RM43.53 bilion selepas diskaun.

“Kempen ini akan diteruskan sehingga 31 Disember ini dan KPKT akan teliti semula kerana faedah daripada kempen ini amat besar bukan saja kepada pengusaha dan industri perumahan, tetapi juga pembeli,” katanya. – MalaysiaGazette