A healthcare working showing the CoronaVac Covid-19 vaccine manufactured by Sinovac during the National Covid-19 Immunisation Programme at KPJ Tawakkal Hospital in Kuala Lumpur. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 07 JUNE 2021. PICK Adolescents
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sehingga kini, tiada kes kematian yang dapat dikaitkan secara langsung dengan vaksin Covid-19 yang telah divaksinasi kepada penerimanya.

Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, hasil itu diperolehi daripada laporan penyiasatan dan penilaian kausaliti atau hubungkait oleh Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Vaksin Covid-19 (JFK).

“Laporan penyiasatan diserahkan kepada JFK untuk penilaian kausaliti atau hubungkait antara kesan sampingan dan vaksin yang diambil.

“Daripada jumlah kes serius setakat ini, terdapat 535 laporan yang merekodkan kes-kes kematian dalam kalangan penerima vaksin Covid-19.

“Namun, setelah penilaian kausaliti dijalankan, sehingga kini, tiada kes kematian yang dapat dikaitkan secara langsung dengan vaksin Covid-19 yang telah diberikan,” katanya di Parlimen, hari ini.

Menurut Aaron Ago, kesan sampingan ubat dan vaksin dipantau oleh Pusat Pemonitoran Kesan Advers Kebangsaan di Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Katanya, bermula daripada pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) pada 24 Februari hingga 20 November lalu, sejumlah 51,842,386 dos vaksin jenama Comirnaty (Pfizer), AstraZeneca, Coronavac (Sinovac), Convidecia (CanSino) dan Covilo (Sinopharm) telah diberikan kepada penerima vaksin.

Sepanjang tempoh itu, jelas beliau, sistem pelaporan sedia ada di NPRA telah menerima sebanyak 23,163 laporan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) iaitu 0.45 laporan bagi setiap 1,000 dos vaksin yang diberikan.

“Sebanyak 93.3 peratus daripada laporan diterima ini melibatkan kesan sampingan ringan dan sederhana seperti sakit di tempat suntikan, demam, pening serta keletihan dan biasanya akan pulih dalam tempoh beberapa hari.

“Daripada jumlah ini, hanya 1,549 laporan dikategorikan sebagai serius iaitu 0.03 laporan bagi setiap 1,000 dos diberikan, di mana penerima vaksin dimasukkan ke hospital untuk pemantauan dan rawatan lanjut bagi beberapa hari.

“Semua kes yang dikategorikan sebagai serius, termasuk kes kematian seterusnya akan disiasat secara menyeluruh dan terperinci oleh fasiliti kesihatan yang berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette