KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyangkal menggesa pengguna di negara ini untuk memakan itik sementara kerajaan mengkaji kenaikan harga ayam.

”Saya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan seperti di dalam gambar yang ditularkan.

”Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti ini yang tidak sensitif dan seperti mempersendakan rakyat yang sedang dalam kesusahan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Alexander berkata, sebagai seorang yang datang dari kawasan pedalaman di Kapit Sarawak, isu-isu seperti ini amat dekat di hati saya dan bukanlah sesuatu yang boleh dipermainkan.

Tegasnya, beliau dan kementeriannya mengambil serius isu-isu kenaikan harga barangan yang menekan rakyat.

Malah, sebagai menteri, tentunya beliau sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian bagi isu seumpama ini.

”Tetapi, usaha-usaha ini memerlukan sedikit masa kerana melibatkan pelbagai kementerian dan agensi lain sebelum Kerajaan dapat memberikan satu penyelesaian yang memberikan manfaat kepada semua pihak yang terlibat.

”Isu kenaikan harga barangan ini sememangnya membelenggu dunia, bukan sahaja Malaysia.

”Ini adalah kesan daripada penularan wabak Covid-19 yang telah melumpuhkan aktiviti ekonomi sejak sekian lama,” ujarnya sambil meminta semua Keluarga Malaysia, jangan mengeruhkan lagi keadaan dengan menyebarkan perkara-perkara berunsur fitnah seperti ini. – MalaysiaGazette