Gambar hiasan

ISKANDAR PUTERI – Sebuah akademi Al-Quran akan ditubuhkan pertama di Johor pada Januari depan dengan kerajaan negeri peruntukkan RM300,000 bagi tujuan tersebut.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, pengambilan pertama membabitkan 40 pelajar dan tenaga pengajar terdiri daripada pakar al-Quran dan bekas qari serta qariah dari negeri itu.

Katanya, akademi tersebut memberi penekanan khusus kepada pemahaman dan membaca al-Quran dengan lebih baik.

“Kita nak menjadikan akademi al-Quran ini sebagai pusat yang sentiasa berjalan dan kita mahu dianggap bermusim di mana waktu musabaqah daerah atau negeri mereka baru nak bermula.

“Kerajaan negeri buat masa ini menentukan mereka berumur 12 tahun ke atas akan diserapkan di akademi tersebut dengan kelengkapan termasuk asrama dan pembelajarannya juga sama seperti sekolah agama Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, menurut Tosrin, akademi itu hanya dibuka kepada anak-anak Johor dan permohonan akan ditapis oleh jawatankuasa pejabat kadi peringkat daerah, selain pelajar perlu menduduki peperiksaan khas yang ditetapkan.

“Kita ada jawatankuasa khas yang turut sama disertai oleh pakar-pakar al-Quran dan ia yang pertama di Malaysia. Insya-Allah.

Beliau berkata, setakat ini tiada yuran dikenakan kepada pelajar yang ingin menyertai akademi berkenaan.

Akademi ini katanya, diharapkan memberi pendidikan khas mengenali dan membaca al-Quran dengan baik lancar dengan tajwid yang betul

“Selain melahirkan qari dan qariah terbaik dari negeri ini,” katanya sambil menambah penubuhan akademi tersebut selari dengan hasrat kerajaan yang mahu memberikan pendidikan khas tentang al-Quran kepada golongan pelapis. – MalaysiaGazette