Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar anti-party hopping bill Parliament Dewan Rakyat amendment federal constitution
Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

KUALA LUMPUR – Kerajaan pada dasarnya bersetuju  mengkaji lebih teliti cadangan meminda Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri (PM) kepada tidak lebih 10 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu, bagi tujuan itu, mesyuarat telah diadakan pada 30 September lalu melibatkan portfolionya, Jabatan Peguam Negara dan pihak berkepentingan lain.

Katanya, mesyuarat itu membincangkan persoalan dasar yang timbul dari pelaksanaan cadangan itu.

“Mesyuarat bersetuju bahawa perkara ini perlu dikaji dengan lebih teliti terutamanya parameter, kandungan dan implikasi pindaan.

“Portfolio saya bersama Jabatan Peguam Negara dan pihak berkepentingan lain akan mengkaji perkara ini dan dapatan awal akan dikemukakan kepada saya pada penghujung bulan ini,” katanya dalam sesi jawab lisan di Parlimen hari ini.

Wan Junaidi berkata, soal selidik telah disediakan untuk mendapatkan pandangan orang awam berkaitan isu pengehadan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Soal selidik itu, katanya, telah dimuat naik di portal BHEUU dan telah dikemukakan kepada agensi kerajaan, CSO dan NGO untuk pandangan awam serta boleh jawab mulai semalam hingga 8 Disember ini.

“Dapatan dari kajian soal selidik ini akan membantu dalam mendapat pandangan orang awam berkaitan cadangan itu.

“Semasa taklimat Peguam Negara di Mesyuarat Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik semalam, didapati juga masih terdapat persoalan dasar yang tidak dapat dijawab.

“Oleh itu, jawatankuasa ini akan turut meneliti persoalan yang dibangkitkan berkaitan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri,” kata beliau. – MalaysiaGazette