Datuk Hishamuddin Hashim, the Secretary-General of the Malaysia International Humanitarian Organization (MHO)
Datuk Hishamuddin Hashim

KUALA LUMPUR – Sejak akhir-akhir ini banyak laporan berkaitan perintah mahkamah berhubung permohonan taraf kerakyatan melalui undang-undang yang pada awalnya ditolak oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Rata-rata pemohon menghadapi isu yang sama iaitu kesulitan dalam pendaftaran kelahiran terutamanya di luar bandar yang kurang kemudahan asas, tiada kesedaran ibu bapa, perkahwinan tidak berdaftar dan lain-lain sebab.

Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, isu kerakyatan dan pendaftaran ini bukan sesuatu yang baharu.

“Pemerhatian MHO  juga mendapati dalam banyak kes juga dalam penghakiman setelah mendengar fakta-fakta berserta keterangan-keterangan yang telah diberikan dan juga setelah mengambil faktor-faktor bahawa peruntukan dan atau syarat-syarat yang telah dipatuhi.

“Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan tersebut dan memerintahkan supaya JPN mendaftarkan kerakyatan bagi pemohon tersebut melalui Perkara 14 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Bahagian II, Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Hishamuddin berkata, hanya sebahagian atau kumpulan kecil sahaja berjaya mendapatkan kerakyatan atau pengenalan mereka melalui perintah mahkamah tetapi golongan tidak berkemampuan kekal ’stateless’.

“Banyak dari mereka terpaksa memilih untuk kekal menjadi ‘stateless’ dan hidup dalam serba kesusahan kerana tidak mempunyai dokumen atau taraf di negara ini walaupun lahir di sini, tidak semua mampu membayar kos mahkamah.

“Melihat senario ini, MHO atas rasa kemanusian sekali lagi menekankan supaya kerajaan Malaysia terutama Kementerian Dalam Negeri (KDN) boleh mencadangkan satu dasar kuatkuasa kerakyatan ini melalui Artikel sama dalam memudah cara permohonan golongan ini dengan mengambil kira kes-kes mahkamah ini.” ujarnya.

Sebarang pertanyaan dan aduan isu kemanusiaan boleh berhubung dengan Malaysia International Humanitarian Organisation – MHO di talian : 011 2905 0000 – MalaysiaGazette