Pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof pada Malam Gala dan Media Screening Filem Munafik 2 di E-Curve Damansara, Selangor. foto IQBAL BASRI, 27 OGOS 2018
Pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof.

KUALA LUMPUR – Pengarah terkenal, Syamsul Yusof mengakui sebagai seorang pengkarya filem, dia sentiasa terdedah dengan kritikan orang mengenai sebarang naskah yang disajikan kepada umum.

Namun Syamsul, 36, berharap setiap pihak yang tampil mengkritik itu juga perlulah ada ilmu khusus dalam bidang ini supaya pengkarya-pengkarya sepertinya dapat membuat sebarang penambahbaikan dalam gerak kerja berdasarkan kritikan yang betul.

“Ini khususnya kepada pengkritik kalangan Youtuber. Kalau nak kritik itu juga perlu bezakan dengan hinaan. Saya ini sudah lama mengarah. Saya daripada generasi sebelum ini lagi dan ramai yang seangkatan saya sudah memperlahankan kerjaya.

“Sama juga dalam kritikan filem, orang bercakap filem pun sudah berbeza. Apatah lagi sekarang era media sosial dan semua perkara nak komen. Bagi saya tak salah, tapi kena sesuai atau tidak.

“Semua orang boleh kritik, tapi kena ada ilmu. Nak kritik kena bijak. Kalau orang tidak suka filem saya, okay saja. Apa yang penting saya puas. Saya juga tidak boleh puaskan hati semua orang,”katanya.

Syamsul berkata demikian semasa terlibat dalam sesi Instagram (IG) Live menerusi topik Persediaan Menjadi Pengarah Tanpa Gagal semalam.

Sesi itu dikendalikan moderator yang juga bekas wartawan Melodi, Nik Syafiq dan Aswad Jalil yang merupakan bekas wartawan hiburan HLive.

Untuk rekod, Syamsul adalah pemenang Pengarah Terbaik paling muda pernah memenangi anugerah Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM 23) iaitu pada usia 25 tahun menerusi filem Evolusi KL Drift 2.

Syamsul turut mengulangi kejayaan sama pada FFM 24 menerusi filem KL Gangster dan FFM 28 bagi filem Munafik.

Lebih membanggakan Syamsul juga memenangi Pengarah Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik ke-57 menerusi filem Munafik.

Filem arahannya, Munafik 2 menjadi filem tempatan nombor satu apabila meraih kutipan mencecah RM48 juta.

Mengulas lanjut, Syamsul memberitahu, itu tidak bermakna dia menganggap dirinya bagus atau berada di satu tahap yang tinggi.

“Saya bukan nak cakap saya bagus, tapi saya ada ilmu sendiri. Seseorang yang berjaya, pasti ada yang tak suka atau ‘haters’, itu perkara biasa. Jadi kuatkan mental dan fokus pada karya,” katanya.

Sementara itu, Syamsul mengaku begitu mengagumi cara pengarahan dan hasil kerja Khabir Bhatia, Erma Fatima dan Datuk Shuhaimi Baba.

“Kalau nak kata siapa pengarah yang saya suka antaranya Khabir Bhatia, Erma Fatima dan Shuhaimi Baba. Nak menjadi pengarah bukan mudah. Kak Erma mengarahkan filem Embun. Begitu juga dengan filem sentuhan Shuhaimi Baba. Saya tabik mereka sebagai pengarah wanita.

“Kalau mereka boleh buat, takkan saya tak boleh. Jadi, mereka antara pengarah hebat yang saya suka dan saya sudah kaji filem mereka. Saya mengkaji banyak cabang. Saya bukan jenis yang tengok sekejap saja,” katanya.

Dalam pada itu, IG Live Bersama Penggiat Seni anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) diadakan sempena Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang bakal berlangsung pada 10 Disember ini. – MalaysiaGazette