Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri sedang memantau dengan rapat perkembangan terkini di Kepulauan Solomon berikutan pergolakan dan tunjuk perasaan yang berterusan di bandar Honiara.

Bahagian Konsular kementerian memberitahu, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Port Moresby, Papua New Guinea sentiasa berhubung rapat dengan rakyat Malaysia di Kepulauan Solomon melalui Konsulat Kehormat Malaysia di negara tersebut.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia telah menghubungi 231 rakyat Malaysia di Honiara dan sekitar 950 lagi di luar bandar tersebut.

“Kesemua mereka dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular di Solomon Islands boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Port Moresby atau Kementerian LuarNegeri menerusi saluran-saluran berikut;

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Port Moresby, Papua New Guinea di talian +675-3251506, 7703 5933, +675-79702003 (boleh dihubungi melalui WA), +675-79646292 (boleh dihubungi melalui WA), E-mel: [email protected], media sosial: @mhcpng (Facebook) | @MYHCPNG (Twitter).

Media hari ini melaporkan, pasukan pengaman Australia dikerahkan mengawal keselamatan di lapangan terbang dan pelabuhan di Honiara, ibu kota Kepulauan Solomon yang dilanda rusuhan.

Rusuhan bermula pada Rabu lalu, apabila ribuan penunjuk perasaan mengepung Parlimen, membakar bangunan di sekitar daerah Chinatown bagi menggulingkan Perdana Menteri Solomon, Manasseh Sogavare yang enggan meletak jawatan.

Menteri Dalam Negeri Canberra, Karen Andrews berkata, kira-kira 100 anggota polis dan tentera terbabit dalam misi bagi memulihkan undang-undang dan ketenteraman awam itu. – MalaysiaGazette