Datuk M. Asojan

KUALA LUMPUR – Lebih 20,000 perwakilan MIC dari 140 Bahagian seluruh negara akan mengundi bagi memilih tiga naib presiden dan 21 ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu bagi penggal 2021-2024.

Setiausaha Agung MIC Datuk M. Asojan berkata proses pengundian yang akan berlangsung di pejabat-pejabat MIC dan dewan serbaguna seluruh negara itu akan bermula pada pukul 4 petang hari ini dan dijangka berakhir pada pukul 7 malam.

Kebiasaanya, pemilihan barisan kepimpinan tertinggi pusat parti yang berusia 75 tahun itu diadakan serentak dengan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM), namun pada tahun ini ia diadakan secara berasingan.

Pemilihan tiga jawatan naib presiden kali ini juga menyaksikan persaingan sengit dengan enam calon merebut jawatan berkenaan.

Enam calon yang bertanding kerusi naib presiden ialah tiga penyandang terdiri daripada Datuk T. Mohan, Datuk C. Sivaraajh dan Datuk T. Murugiah, Setiausaha Agung MIC Datuk M. Asojan, Setiausaha Eksekutif A. K. Ramalingam dan Ketua Penerangan MIC Datuk V. Gunalan.

Selain itu, 60 calon lagi merebut 21 ahli CWC pada pemilihan kali ini termasuk bekas Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan, bekas setiausaha parti Datuk Sakthivel Alagapan, bekas Ketua Pemuda MIC Thinalan Rajagopal dan Datuk N. Muneandy.

Sebelum ini, Tan Sri S.A. Vigneswaran dan Datuk Seri M. Saravanan masing-masing berjaya mempertahankan jawatan mereka sebagai Presiden MIC dan Timbalan Presiden MIC selepas memenangi jawatan berkenaan tanpa bertanding.

Pemilihan bagi sayap parti itu pula berlangsung pada 30 Okt lepas yang menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, K. Raven Kumar menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda MIC manakala Datuk Mohana Muniandy menang sebagai Ketua Wanita parti selepas menewaskan pencabarnya J. Usha Nandhini.

Selain itu, A. Kishva dan R. Puvaneswary masing-masing turut menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Putera dan Ketua Puteri parti berkenaan. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here