KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan teraniaya selepas maklumat sulit permohonannya membuka stesen minyak didakwa dibocorkan oleh pihak tertentu kepada pihak ketiga.

Pengarah Strategik Transforms Sdn Bhd (STSB), Nur Ahlina Abdul Aziz berkata, permohonan dibuat melalui sistem secara dalam talian iaitu Bless 2.0 terus melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bertarikh 31 Mei lalu tiba-tiba ditarik balik daripada sistem pada 9 Julai lalu tanpa pengetahuannya.

Kebocoran maklumat itu diketahui selepas peguam syarikat pihak ketiga mengaku mereka telah dimaklumkan KPDNHEP tentang permohonan pembukaan stesen minyak baru berkenaan.

“Saya hairan, bagaimana maklumat permohohan bagi membuka stesen minyak di Lot 34050 di KM 271.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dekat Labu, Negeri Sembilan yang sepatutnya maklumat sulit antara pemohon dan kerajaan boleh diketahui pihak ketiga.

“Saya berharap, pihak berkuasa menyiasat kebocoran maklumat ini kerana ia boleh menjadi ancaman kepada peniaga lain serta industri petroleum negara,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurutnya, satu laporan polis telah dibuat ke atas salah laku terhadap pihak agensi kerajaan tersebut, para pegawai mereka serta syarikat pembekal minyak petrol yang berkaitan di Balai Polis Nilai pada 17 November lalu.

Selain itu, laporan juga telah dibuat buat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP).

Pada waktu dan balai yang sama, satu lagi laporan polis dibuat oleh seorang pengarah syarikat pemegang francais salah satu pembekal minyak petrol, Ismail Holdings Sdn Bhd (IHSB) terhadap syarikat minyak berkenaan berhubung isu penamatan kontrak dan penutupan sementara stesen minyak di lokasi sama pada 22 Januari lalu.

Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Abdur Rahman berkata, penamatan kontrak stesen minyak IHSB telah diberitahu melalui surat kepadanya 26 Januari lalu menyebabkan syarikat terpaksa memohon penutupan sementara kepada KPDNHEP.

Beliau berkata, sebaliknya wakil syarikat pembekal minyak petrol tersebut melalui seorang pengurusnya telah menghantar surat kepada KPDNHEP memberitahu mereka tidak ada pengetahuan mengenai penutupan stesen minyak berkenaan menyebabkan IHSB telah didakwa di mahkamah.

Pada masa yang sama, pihak IHSB telah berkali-kali memohon penutupan kerana adalah mustahil untuk terus beroperasi apabila kontrak ditamatkan.

Sehubungan itu, Ismail membuat laporan polis kerana mengesyaki ada berlaku penipuan oleh pihak berkenaan sehingga syarikatnya menjadi mangsa tindakan undang-undang daripada pihak kerajaan kerana menutup operasi tanpa kebenaran.

“Saya berharap kes ini disiasat dengan adil kerana ada kemungkinan terdapat penipuan dan penyelewengan serta konspirasi berniat jahat untuk menjatuhkan peniagaan saya.

“Saya juga khuatir rakan-rakan perniaga minyak petrol yang lain mungkin mengalami penindasan dan masalah yang sama dengan pihak-pihak syarikat pembekal serta pihak KPDNHEP tersebut.

“Mereka mungkin takut bersuara oleh kerana risau kesan pada perniagaan mereka serta tidak mampu melawan syarikat pembekal minyak yang besar,” katanya dalam kenyataan yang sama.- MalaysiaGazette