Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid

IPOH – Seramai 27 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Op Cegah Jenayah Khas selama kira-kira empat jam di sekitar bandar raya ini, malam tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, seramai 20 orang ditahan atas kesalahan jenayah narkotik, serta kesalahan jenayah (5 orang) dan lain-lain kesalahan (2 orang), hasil daripada pemeriksaan terhadap 1,712 individu sepanjang operasi tersebut.

“Sebanyak 2,480 kenderaan telah diperiksa dan 66 saman dikeluarkan atas kesalahan trafik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi itu membabitkan seramai 770 pegawai polis dengan dibantu 17 pegawai dari Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Mior Faridalthrash berkata, operasi itu dijalankan, berikutan terdapat aduan daripada orang awam yang mengatakan kegusaran berkenaan peningkatan kes-kes jenayah di kawasan perumahan dan kawasan perniagaan mereka.

“Pihak polis juga menggunakan pendekatan ‘omnipresence’ terutamanya di kawasan tumpuan orang ramai, bagi melahirkan rasa selamat di kalangan masyarakat setempat.

“Orang ramai juga boleh memberikan kerjasama dengan berkongsi maklumat kepada pihak polis sekiranya terdapat kejadian jenayah yang berlaku,” katanya. – Bernama