Seorang wanita membuat aduan kepada pihak KPDNHEP Pulau Pinang berhubung pertindihan harga barang di sebuah kedai kasut di Kompleks beli-belah Queensbay, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Pemilik sebuah kedai kasut di kompleks beli-belah Queensbay, Bayan Baru, di sini diberi amaran agar lebih teliti dalam proses meletakkan tanda harga pada barangan yang dijual.

Amaran itu dikeluarkan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Cawangan Timur Laut susulan menerima aduan daripada pengguna mengenai kekeliruan harga pada barangan di premis berkenaan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, pegawai penguatkuasanya melakukan pemeriksaan di premis terbabit pada jam 10.50 pagi tadi dan mendapati tanda harga pada pewangi kasut dipamerkan dengan jelas iaitu RM16.99 sebotol.

“Tanda harga dipamerkan pada barang yang diadu iaitu SHOE DEO itu jelas dan tiada pertindihan.

“Sebaliknya, peniaga memaklumkan mungkin berlaku kesilapan yang dilakukan oleh pekerja semasa proses meletakkan tanda harga.

“Selain itu, pemeriksaan ke atas produk lain mendapati tidak berlaku sebarang pertindihan harga,” katanya hari ini.

Tambah kenyataan itu, susulan pemeriksaan tersebut, pengusaha premis berkenaan diberi amaran supaya lebih teliti dalam proses meletakkan tanda harga terhadap barangan yang dijual.

Satu kenyataan pemeriksaan dikeluarkan kepada pemilik premis.

“Satu kenyataan pemeriksaan premis dikeluarkan dan turut ditandatangan pengurus syarikat berkenaan.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya perkara sama didapati berulang,” katanya.

Terdahulu, KPDNHEP menerima aduan berhubung penyegar kasut yang berharga RM16.99 didapati ditampal secara bertindih dengan tanda harga RM24.99.

Pelanggan wanita itu mendapati tanda harga sedikit tebal sebelum bertindak menanggalkannya dan mendapati dua tanda harga sebelum memaklumkan kepada pihak kedai. – MalaysiaGazette