Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga tuduhan rasuah termasuk menerima suapan RM4,500 pada Mac tahun lalu.

JOHOR BAHRU – Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga tuduhan rasuah termasuk menerima suapan RM4,500 pada Mac tahun lalu.

Kedua-duanya Lans Koperal Farid Rosni, 35, dan Konstabel Clinton Kudang Gangga, 29, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Datuk Ahmad Kamal sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mencapai niat bersama meminta suapan iaitu wang tunai RM10,000 daripada Muhammad Amirul Hafiz Azmi, 23, sebagai dorongan untuk melepaskan Muhammad Amirul dan rakannya yang ditahan kerana memiliki air ketum.

Kejadian berlaku di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Melayu, Pandan, Johor Bahru di sini pukul 6.30 petang 10 Mac 2020.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pertuduhan kedua, mereka didakwa mencapai niat bersama secara rasuah bersetuju menerima suapan RM4,500 daripada Muhammad Amirul sebagai dorongan melepaskan Muhammad Amirul dan rakannya, jam 9.45 malam di lokasi, waktu dan kesalahan sama.

Pertuduhan ketiga, mereka didakwa mencapai niat bersama memperoleh suatu suapan iaitu wang tunai RM4,500 daripada Rafsanjani Rosli, 33, sebagai dorongan untuk melepaskan Muhammad Amirul dan rakannya pukul 10 malam di lokasi, waktu dan kesalahan yang sama.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 masing-masing mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Mahirah Mohd Pauzi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Chuah Shyue Chien dan Muhammad Faizuddin Abd Ra’fik.

Nur Mahirah menawarkan jaminan masing-masing RM20,000 terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM5,000 dan seorang penjamin serta menetapkan 28 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.- MalaysiaGazette