Fazley Yaakob merupakan peserta Gegar Vaganza musim kelapan.

KUALA LUMPUR – Cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob terus berada di kedudukan dua terbawah dalam konsert minggu kedua Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) yang disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria malam kelmarin

Namun situasi penyanyi yang membawakan lagu Laguku Untukmu dendangan asal Hasnol pada konsert kedua itu mengundang kasihan penonton apabila dipanggil terlalu awal untuk naik ke atas pentas bagi pusingan penyingkiran.

Difahamkan, pihak produksi telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) di mana hanya empat individu sahaja dibenarkan untuk berada di atas pentas dalam satu-satu masa.

Bagaimana pun, rata-rata netizen di media sosial berasa simpati kerana penyanyi lagu Asmara Ini itu terpaksa berdiri lama bagi menunggu nasib untuk mendapat lagu bagi bertanding ke minggu seterusnya.

Netizen berpendapat, bapa kepada empat cahaya mata itu seolah-olah dimalukan dan dibiarkan menunggu lama sebelum namanya akhirnya dipanggil kerana terselamat daripada markah tercorot kepada Nico.G.

Segelintir netizen turut mempersoalkan tindakan pihak produksi yang menyusun atur bagi memanggil peserta naik ke pentas lebih awal tetapi mendapat markah rendah sekali gus disifatkan tidak menjaga air muka peserta yang rata-rata penyanyi senior.

Sementara itu, pada konsert ketiga, Fazley atau nama penuhnya Ahmad Fadzli Yaakob akan menyanyikan lagu Yang Sedang Sedang Saja nyanyian asal artis dangdut, Iwan bersama 12 bintang yang lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast