Kakitangan perubatan mengeluarkan pesakit dari pesawat pengangkut Tentera Udara Diraja Kanada CC-130J Hercules yang berlepas dari Saskatoon, selepas wilayah Saskatchewan berkata ia akan menghantar pesakit dengan penyakit koronavirus (COVID-19) dari wad ICU yang terlebih muatan ke hospital Ontario, di Kingston, Ontario, Kanada 28 Oktober 2021. - Foto Reuters

MONTREAL – Dua lagi kes varian koronavirus Omicron telah dikesan di Ottawa – menjadikan jumlah keseluruhan kes di Kanada kepada lima, kata Kesihatan Awam Ottawa semalam.

Memetik laporan dari Reuters, Quebec menemui kes pertama Covid-19 bagi varian itu.

Menteri Kesihatannya, Christian Dube memberitahu, seramai 115 pelancong yang datang dari negara yang terjejas varian baharu itu terutamanya Afrika Selatan telah dipanggil dan diminta untuk diasingkan dan menjalankan saringan.

Kes pertama Quebec merupakan individu yang baru-baru ini ke Nigeria, kata pengarah kesihatan awamnya, Horacio Arruda, serupa dengan dua kes yang dilaporkan pada Ahad lalu oleh Wilayah Ontario.

Ketibaan varian baharu menjelang musim cuti Krismas itu kebanyakannya melibatkan mereka yang tidak divaksinasi, kata Dube.

Dalam 24 jam terakhir Quebec melaporkan 756 kes baharu.

Justeru Dube menggesa pelancong untuk memikirkan semula perjalanan percutian dan memberi amaran terhadap perayaan besar.

Wilayah tersebut mengehadkan perhimpunan di rumah persendirian kepada 10 orang.

“Beberapa minggu akan datang ia akan menjadi kritikal,’ kata Dube.- Reuters