Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

KUALA LUMPUR – Harga tiket kapal terbang yang meningkat secara drastikĀ  khususnya ke Sarawak akan memberi kesan terhadap keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri berkenaan tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, meskipun mengundi lima tahun sekali namun rakyat sudah tentu akan berkira-kira untuk kembali pulang menunaikan tanggungjawab mereka ekoran tidak mampu membeli tiket yang mencecah hampir ribuan ringgit.

Justeru beliau menggesa Kementerian Pengangkutan untuk menangani masalah itu supaya pengundi Sarawak yang berada di luar kawasan dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Rakyat Sarawak pilih kerajaan lima tahun sekali tapi sekarang tidak mampu balik maka (PRN Sarawak) akan memberi kesan. Kita perlu permudahkan sebelum pilihan raya,” katanya wakil rakyat PKR itu dalam Dewan Rakyat hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini memutuskan PRN Sarawak akan diadakan pada 18 Disember ini dan pengundian awal pula ditetapkan empat hari sebelum itu.

Menteri Pengangkutan Datuk Ser Dr Wee Ka Siong sebelum itu mengarahkan semua syarikat penerbangan menurunkan harga tiket penerbangan domestik dengan segera tanpa perlu campur tangan kerajaan Persekutuan.

Katanya, pihaknya telah memanggil syarikat penerbangan iaitu Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo untuk bermesyuarat dengan menekankan keperluan untuk mengurangkan tambang penerbangan bagi membolehkan lebih ramai penumpang dapat menikmati tambang penerbangan yang lebih rendah bagi tempoh akhir tahun ini.- MalaysiaGazette