Idris Ahmad

JOHOR BAHRU – Keputusan sama ada berlaku kenaikan kos haji bagi musim 1443H/2022M hanya diputuskan Kabinet selewat-lewatnya Januari depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) akan memberikan taklimat berhubung isu itu kepadanya pada minggu depan.

“Setakat ini saya tidak dapat ulas lagi sama ada kos haji musim depan akan naik atau tidak. Namun kos umrah pun dilaporkan sudah bertambah lebih RM2,000, walaupun ia hanya 10 hari.

“Tabung haji akan memberi taklimat kepada saya minggu depan, kita akan lihat dan bincang dengan majlis jemaah menteri kemudian baru dimuktamadkan,” katanya selepas merasmikan program Inspirasiku Dana Inspirasi Malaysia dan Program Inspirasi Prihatin Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), di Dewan Masjid al-Jawaher Mutiara Rini, di sini, hari ini.

Idris Ahmad memyampaikam sumbangan kepada Nur Nisha Amirah Nazaruddin,Penuntut Kolej Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) program Inspirasiku Dana Inspirasi Malaysia dan Program Inspirasi Prihatin Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), di Dewan Masjid al-Jawaher Mutiara Rini, di sini, hari ini.

Idris berkata, setelah selesai taklimat itu, beliau akan membawa perkara berkenaan kepada Jemaah Menteri.

”Saya akan bawakan perincian taklimat TH itu ke dalam mesyuarat Jemaah Menteri bagi mencapai keputusan muktamad,” katanya.

Sabtu lalu, kerajaan dilaporkan menjangkakan kos mengerjakan haji meningkat kepada lebih RM30,000, iaitu peningkatan sehingga 50 peratus berbanding sebelum ini iaitu RM23,000.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, peningkatan itu disebabkan Cukai Nilai Tambah (VAT) diperkenalkan Kerajaan Arab Saudi naik 15 peratus, berbanding 5.0 peratus sebelumnya.

Dalam pada itu, Idris berkata, kerajaan akan mengambil kira faktor menang-menang terhadap pendeposit TH, selain kebajikan bakal jemaah haji terutama golongan B40, sebelum membuat keputusan muktamad berhubung isu kos haji.

Diminta mengulas mengenai cadangan supaya subsidi bersasar diberikan kepada golongan B40 yang mahu menunaikan haji, Idris berkata, perkara itu perlu dibincangkan bersama pengurusan TH.

“TH sebagai operator pengurusan haji negara perlu ambil kira tanggungjawab kepada pendeposit yang kebanyakannya sudah menunaikan haji, selain kebajikan bakal jemaah haji dalam kalangan B40.

“TH tidak boleh mengambil tindakan sendiri. Kerajaan juga tidak mahu hanya isytihar tindakan populis semata-mata kerana kita perlu realistik.

“Setiap tahun TH buka peluang kepada mana-mana jemaah haji yang tidak mahu mengambil subsidi kos haji, namun tidak ramai yang menyahut peluang itu,” katanya. -MalaysiaGazette