KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya untuk saf-saf solat di masjid dan surau dirapatkan, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Ahmad Dasuki.
Pandangan tersebut disuarakan oleh Asyraf menerusi hantaran terbaharu di laman Facebook hari ini.
Menurut beliau, setiap individu yang ingin menunaikan kewajipan tersebut harus menjalani saringan awal secara kendiri terlebih dahulu.
“Sudah tiba masanya untuk saf-saf solat di masjid dan surau dirapatkan. Boleh buat saringan awal secara kendiri.
“Yang mana terdedah kepada mereka yang positif mesti ada kebertanggunggjawaban kendiri, elakkan diri daripada ke tempat awam termasuk ke masjid,” katanya yang turut menyertakan tanda pagar #sokongsafdirapatkan.
Menerusi catatan tersebut, Asyraf turut menyertakan tangkap layar memaparkan gambar para penonton aksi final pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Sementara itu, ada netizen yang meninggalkan komen supaya Asyraf memuat naik gambar menunjukkan beliau solat dalam keadaan saf yang rapat.
Komen tersebut kemudiannya dibalas oleh Asyraf bahawa segala keputusan mengenai perkara tersebut harus dikeluarkan oleh pihak berautoriti.
“Kena hormat Ulul Amri. Biar mereka segera buat keputusan dan kita sebagai rakyat akan patuh,” ujarnya. – MalaysiaGazette